Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR- Orang ramai boleh menyumbangkan idea dan cadangan dalam penyediaan Belanjawan Negara 2020 melalui sebuah laman web khas www.belanjawan2020.treasury.gov.my.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, selain itu, orang ramai juga boleh menggunakan tanda pagar #belanjawan2020 di media-media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter bagi berkongsi sebarang input dan cadangan.

Cadangan boleh dikemukakan bermula 8 Ogos ini sehingga 11 September 2019.

“Laman Web Khas #belanjawan2020 membolehkan semua lapisan masyarakat mengemukakan pandangan selaras dengan usaha kerajaan untuk membina negara dan menyejahterakan rakyat.

“Dalam usaha ini, kerajaan telah menganjurkan Majlis Konsultasi Belanjawan yang merupakan satu forum utama di mana pelbagai pihak dari sektor swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan agensi dijemput untuk hadir bagi menyumbang idea dan cadangan yang konstruktif untuk dipertimbangkan sebagai input dalam merangka strategi dan langkah-langkah Belanjawan.

“Di samping itu, beberapa siri konsultasi kumpulan fokus akan diadakan bersama Kerajaan Negeri seperti Johor, Kedah, Perak dan Sabah serta Kementerian-Kementerian bermula 9 Ogos 2019,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Belanjawan 2020 akan dibentangkan pada 11 Oktober ini di Parlimen.- MalaysiaGazette