Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 21 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa masyarakat antarabangsa agar terus berpegang teguh kepada Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berkaitan dengan Jammu dan Kashmir.

Dr Mahathir berkata sesi dialog dan perundingan adalah laluan terbaik untuk penyelesaian yang damai dan tenang dalam isu lama ini.

“Malaysia prihatin terhadap perkembangan terkini di Jammu dan Kashmir, terutamanya peningkatan ketegangan berulang di kedua-dua rantau ini.

“Sebagai rakan rapat negara India dan Pakistan, Malaysia meletakkan harapan yang tinggi bahawa kedua-dua jiran itu akan mengekalkan keamanan untuk mengelakkan ketegangan yang boleh menjejaskan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan oleh Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian setelah mendapat satu panggilan telefon daripada Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan pada Isnin lalu.

Imran memberitahu Dr Mahathir bahawa keperluan masyarakat antarabangsa untuk menghormati Resolusi UNSC yang berkaitan Jammu dan Kashmir.

Ketegangan di negeri paling Utara India, Jammu dan Kashmir kembali memuncak apabila kerajaan India bertindak menarik semua hak autonomi yang dijanjikan kepada negeri berkenaan sejak ia menyertai India pada 1947. -MalaysiaGazette