Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof diiringi Pengerusi Tekun Nasional, Datuk Seri Muhamad Suparadi Md Noor (kanan) menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran TEKUN Mart Mobile di Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 21 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) hari ini membuktikan bantuan 2 dalam 1 menerusi TEKUN Mart Mobile yang dilancarkan hari ini.

Kedai bergerak menggunakan trak bersaiz tiga dan satu tan itu menurut Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof adalah usaha menolong usahawan di bawah TEKUN menjual produk mereka.

Dalam masa yang sama memberi tawaran harga 10 hingga 15 peratus lebih rendah daripada pasaran, katanya.

“Jadi, kita ada satu komuniti yang besar yang TEKUN hari ini contoh ada 450,000 usahawan dan berpuluh ribu produk antara produknya adalah produk-produk asas dan usahawan-usahawan ini kadang-kadang mempunyai kesukaran untuk menjual barangan mereka di hypermarket dan supermarket.

“Kita hendak bantu mereka dalam masa yang sama kita hendak sampaikan barang yang amat murah, amat rendah kepada pengguna ini antara usaha kita, 2 dalam 1. Satu bantu usahawan kedua bantu rakyat dalam kos sara hidup,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan TEKUN Mart Mobile di sini hari ini.

Buat permulaan, katanya, sebanyak tiga trak TEKUN Mart Mobile akan memulakan operasi perniagaan mereka di Putrajaya, Bangi, Serdang, Kajang, Kuala Lumpur, Puchong dan Kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR).

Mohd. Redzuan berazam untuk terus menambah trak TEKUN Mart Mobile itu secara berperingkat di seluruh negara sekiranya mendapat sambutan yang baik.

“Sekarang kita ada tiga, kita akan tambah lagi berperingkat-peringkat mengikut negeri dan bandar di Melaka, Selangor.

“Progresif, kita nampak penunjuknya adalah sokongan yang begitu menggalakkan saya rasa model ini perlu kita teruskan melibatkan negeri-negeri lain,” katanya lagi.

Untuk rekod sejak TEKUN diwujudkan pada tahun 1998 hingga Julai tahun ini sebanyak RM5.53 bilion pembiayaan telah diberikan kepada 432,959 orang usahawan. – MalaysiaGazette