Zukri Samat

KUALA LUMPUR – Peletakan jawatan Datuk Seri Zukri Samat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji kerana masalah kesihatan adalah benar.

Difahamkan Zukri mengalami masalah kesihatan sejak awal tahun ini dan dinasihatkan supaya berehat dan mendapatkan rawatan.

“Ia tiada kaitan dengan apa-apa, selain disebabkan kesihatan beliau,” kata sumber kepada MalaysiaGazette.

Malah, difahamkan Zukri kini sedang menjalani rawatan.

Zukri menerajui Tabung Haji pada 10 Julai tahun lalu dengan misi untuk memulihkan kedudukan kewangan Tabung Haji.

Dalam tempoh yang singkat, beliau telah berjaya melaksanakan proses pemulihan dan penstrukturan semula kedudukan
kewangan Tabung Haji bagi mengatasi kedudukan defisit aset yang dialami

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof mengumumkan pelantikan Nik Mohd Hasyudeen Yusoff sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji berkuatkuasa 1 September lalu.

Nik Mohd Hasyudeen menggantikan Zukri yang menamatkan kontrak perkhidmatannya lebih awal atas faktor kesihatan setelah menyumbang lebih setahun di Tabung Haji.

Nik Mohd Hasyudeen Yusoff
Nik Mohd Hasyudeen Yusoff

Malah, pencalonan nama Nik Mohd Hasyudeen dibuat oleh Zukri dan dipersetujui oleh Lembaga Pengarah Tabung Haji dan Kerajaan Pakatan Harapan.

Nik Mohd Hasyudeen diyakini dapat menggalas tugas, peranan dan tanggungjawab berat dalam melaksanakan pemulihan dan penstrukturan semula kedudukan kewangan Tabung Haji.

“Nik Mohd Hasyudeen juga bukan calon yang calang-calang, apatah lagi beliau dipilih oleh Zukri yang diketahui seorang yang berintegriti tinggi dan melaksanakan tugas yang digalas dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi.

“Dalam masa kita semua mendoakan Zukri kembali sihat, kita juga perlu meletakkan kepercayaan kepada Nik Mohd Hasyudeen melaksanakan tugas-tugasnya,” ujar sumber itu.

Nik Mohd Hasyudeen berkelulusan Sarjana Perniagaan dari Curtin University of Technology, Australia dan pernah menyertai Program Lanjutan Pengurusan Perniagaan, IMD International Switzerland. Beliau merupakan Felo di CPA Australia dan Ahli di Institut Akauntan Malaysia.

Beliau merupakan ahli lembaga pengarah di beberapa syarikat termasuk BIMB Holdings Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, BIMB Investment Management Berhad, Cagamas Holdings Berhad, TH Plantations Berhad, Malaysia Professional Accountancy Center, Federation of Investment Managers Malaysia dan Al Hijrah Media Corporation.

Nik Mohd Hasyudeen pernah menyandang beberapa jawatan kanan di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai Pengarah Eksekutif Penyeliaan Pasaran dan Korporat serta Pengerusi Eksekutif Lembaga Penyeliaan Audit mempunyai pengalaman luas serta kepakaran dalam bidang perakaunan, kewangan korporat, pasaran modal dan perbankan Islam. – MalaysiaGazette