Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) akan membuat bantahan secara formal kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) sekiranya benar desas-desus mengatakan sebuah parti baharu mahu menggunakan ideologi Bangsa Malaysia.

Ini kerana ideologi itu telahpun digunakan oleh Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), sebuah parti yang meraikan keahlian semua bangsa dengan membawa ideologi kebersamaan dan keluarga besar Bangsa Malaysia, kata Ketuanya, Shahir Adnan.

Beliau berkata, DPIM mengambil semangat kemerdekaan negara apabila semua rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit, bersatu hati dalam menuntut kemerdekaan negara dan memajukan negara setelah merdeka.

“Di saat kami meraikan ideologi Bangsa Malaysia, ini tidak memberikan “lesen” kepada mana-mana individu yang cuba menggunakan nama Bangsa Malaysia dalam mewujudkan parti baharu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Shahir, sebagai sebuah negara demokrasi, semua pihak mesti meraikan parti-parti baharu yang ditubuhkan, selagi mereka memperjuangkan nasib rakyat.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya mengecam penubuhan parti baharu yang mahu memanjangkan hayat politik seseorang politikus demi kepentingan sendiri.

Tegasnya, Parti Ikatan kekal utuh di bawah kepimpinan Presidennya, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan ura-ura kononya parti ini diambil alih oleh pihak-pihak tertentu adalah tidak benar sama sekali.

“Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) terus menyokong kerajaan hari ini selagi isu-isu rakyat diberikan keutamaan oleh kerajaan.

“Ikatan juga akan terus memperjuangkan suara hati rakyat dan menegur kerajaan sekiranya ada kelompongan. Ingatlah, Ikatan membawa suara rakyat demi kemakmuran negara tercinta,” tambahnya.

Sebelum ini, heboh diperkatakan sebuah parti dikenali Parti Bangsa Malaysia wujud dan sudah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 29 Oktober lalu.

Difahamkan, Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin bakal mengetuai parti baharu itu.

Selain, Zuraida antara individu lain bakal menjadi pimpinan Parti Bangsa Malaysia ialah Ahli Parlimen Julau, Larry Soon @ Larry Sng.

Selain itu, bekas pimpinan PKR, Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar juga bakal menyertai parti berkenaan. – MalaysiaGazette

 

Zuraida bakal ketuai Parti Bangsa Malaysia?