Ahmad Zahid Hamidi

BANGI – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan insentif yang diberikan kepada atlet-atlet yang mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat perlu dinaikkan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, inisiatif itu tidak semestinya diperoleh daripada kerajaan, sebaliknya ia boleh diperoleh daripada syarikat-syarikat korporat.

“SHAKAM diberikan oleh kerajaan  kepada pemenang-pemenang kedua-dua temasya di Kemboja dan kerajaan memperuntukkan RM2.4 juta kepada pemenang sukan SEA, RM1.2 juta untuk pemenang temasya sukan Para ASEAN.

“Itu jumlah besar tetapi saya amat bersimpati pada pemenang gangsa, ganjaran itu ciput. Kalau diundang lagi tahun hadapan, saya mahu jumlahnya dinaikkan tiga kali ganda,” katanya selepas menghadiri majlis penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) 2023, malam ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Presiden Sukan Olimpik Malaysia, Datuk Seri Norza Zakaria.

Majlis tersebut merupakan penghargaan terhadap atlet-atlet yang meraih pencapaian positif pada Sukan SEA Kemboja 2023 dan Sukan Para ASEAN Kemboja 2023 yang mana imbuhan kedua-duanya temasya sukat tersebut mencecah hampir RM2.4 juta.

Skuad olahraga membawa pulang lima emas, tiga perak dan 11 gangsa menerima insentif keseluruhan berjumlah RM141,000 manakala pencak silat yang memenangi empat emas, lima perak dan empat gangsa menerima sebanyak RM115,000.

Bagi pemenang pingat Sukan Para ASEAN, atlet- atlet membawa pulang ganjaran SHAKAM berjumlah RM1.8 juta dengan sukan para renang membawa pulang jumah terbesar berjumlah hampir RM500,000.

Sukan para renang meraih 26 emas, 12 perak dan 10 gangsa.

Selain itu, SHAKAM 2023 juga meraikan kejayaan atlet negara yang beraksi cemerlang di Sukan Olimpik Khas 2023 Berlin.

Kontinjen Malaysia membawa pulang empat emas, lima perak, dan sembilan gangsa menerima insentif khas berjumlah RM95,500 secara keseluruhan. – MalaysiaGazette