Meghan mendukung anak lelakinya, Archie. foto Agensi

LONDON – Isu perkauman yang dibangkitkan oleh Duke dan Duchess of Sussex dalam wawancara mereka dengan Oprah Winfrey adalah “membimbangkan” dan “dianggap sangat serius”, kata Istana Buckingham.

Dalam satu kenyataan, istana itu memaklumkan perkara itu akan ditangani secara tertutup.

Meghan Markle memberitahu Oprah bahawa Putera Harry telah ditanya oleh ahli keluarga yang tidak disebutkan namanya “sejauh mana gelapnya” kulit anak mereka, Archie.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Istana Buckingham selepas mesyuarat krisis diadakan, membabitkan ahli-ahli kerabat.

Istana Buckingham mendapat tekanan untuk menjawab isu susulan wawancara pasangan itu.

Meghan merupakan ahli baharu daripada hasil perkahwinan campur dalam keluarga diraja tersebut.

Bapa Meghan merupakan warga Amerika berkulit putih manakala ibunya pula Afrika Amerika.

Putera Harry telah menjelaskan kepada Oprah bahawa soalan tentang warna kulit anaknya bukan dari mulut Ratu.

Kenyataan dari istana muncul sehari setengah selepas wawancara pertama kali disiarkan di Amerika Syarikat menyebut: “Seluruh keluarga merasa sedih apabila mengetahui cabaran yang perlu dilalui oleh Putera Harry dan Meghan.

“Isu-isu yang dibangkitkan, terutama mengenai ras, membimbangkan.

“Harry, Meghan dan Archie akan selalu menjadi ahli keluarga yang sangat disayangi,” tambah kenyataan itu.

Wawancara itu telah ditonton oleh 11.1 juta penonton di Britain. – MalaysiaGazette