Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Zulkifli Mohamed al-Bakri menyempurnakan gimik 1 hari 1 ringgit ketika Program Sambutan Hari Wanita oleh Majlis Wanita Islam YADIM (MAYA) di Auditorium JAKIM,Putrajaya.Foto FIKRI YAZID, 8 MAC 2021.

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) masih menunggu maklum balas daripada Majlis Raja-Raja untuk sebarang tindakan terhadap Agama Melayu yang didakwa dibawa oleh IbuYati.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, JAKIM akan memberi kenyataan mengenai perkara itu sebaik sahaja mendapat restu dari Majlis Raja-Raja.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan sambutan Hari Wanita 2021 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), di Kompleks Islam Putrajaya hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan.

Pertengahan Februari lalu, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, satu keputusan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-118 telah disampaikan kepada Majlis Raja-Raja untuk diputuskan.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan beberapa jabatan terlibat bagi membincangkan isu agama Islam yang melanda negara ketika ini, hari ini.

Antara yang akan turut hadir adalah JAKIM dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Kesemua isu yang terkait dengan ajaran Islam dan sebagainya,” katanya lagi.

Pertemuan itu didakwa bagi membincangkan mengenai isu-isu kontroversi termasuk membabitkan IbuYati dan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Sajat.

Sebelum ini, Zulkifli berkata, pihaknya memandang serius melibatkan isu agama islam dan langkah proaktif perlu diambil agar isu itu dapat diselesaikan dengan telus.

IbuYati atau nama sebenarnya Wan Noor Hayati Wan Alias, 40, bersama bekas pensyarah, Abdul Hamid Yeop ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan dihadapkan ke Mahkamah Syariah Shah Alam baru-baru ini.- MalaysiaGazette