case item The Attorney-General’s Chamber (AGC) in Putrajaya. PIX: FAREEZ FADZIL / MalaysiaGazette / 04 NOVEMBER 2020. Hasanah Abdul Hamid US$6.94 million case item MACC MEIO
Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara akan membawa perkara berkaitan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berhubung Afidavit Tambahan No 3 kepada perhatian pihak mahkamah.

Dalam kenyataan di sini, Jabatan Peguam Negara berkata, perkara itu akan dibawa perhatian pihak mahkamah selepas merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan Tengku Zafrul, hari ini.

“Merujuk kepada kenyataan media dikeluarkan Tengku Zafrul bertarikh 17 April 2024 mengenai Afidavit Tambahan No 3 yang diikrarkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 9 April 2024 dalam prosiding undang-undang yang dimulakan oleh Datuk Seri Najib Razak di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Prosiding Semakan Kehakiman No WA-25- 136-04/2024. Jabatan Peguam Negara akan membawa perkara ini kepada perhatian pihak mahkamah,” katanya hari ini.

Tengku Zafrul dalam kenyataan hari ini berkata, beliau akan mendapatkan nasihat undang-undang yang sesuai dan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta kebenaran memfailkan afidavit memperbetulkan beberapa kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit yang diikrarkan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ia susulan permohonan Datuk Seri Najib Razak yang mencabar kewujudan titah adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Jelas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata, pendiriannya tersebut bukan untuk mempertikaikan merit isu yang sedang berlangsung.

Sebaliknya, beliau hanya ingin memastikan fakta sebenar direkodkan dengan betul supaya semua pihak, khususnya Mahkamah Tinggi, dapat menilai kesemua fakta material dengan sewajarnya.

Ahmad Zahid dalam afidavit itu memaklumkan kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pertemuan di rumahnya di Country Heights pada 30 Januari lalu.- MalaysiaGazette