Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis perasmian pameran "Perjalanan Menelusuri Seni Islam" dan "Alif Lam Ra" sempena Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Muzium Kesenian Islam Malaysia di Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Konsep Malaysia Madani perlu memperkasakan karya seni Islam seiring dengan pembangunan ekonomi, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penerapan konsep Malaysia Madani tidak harus mengenepikan karya seni kerana ia pernah menjadi tonggak kebangkitan rantau negara ini.

“Malaysia Madani tak bermakna ekonomi tapi seni budaya dan alam Melayu Islam yang menjadi tunggak kebangkitan rantau kita. Itu pencernaan hati nurani.

“Lukisan ukiran karya ilmu sangat mendalam dan bermakna kerana terpancar dari hati nurani dan tercerna dalam bentuk lukisan khat karya-karya seni budaya,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Jubli Perak  25 Tahun Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) malam ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil.

Oleh yang demikian, Anwar telah mengarahkan agar Kementerian Komunikasi agar mempromosikan hasil seni dan budaya Islam.

“Saya juga berbisik kepada (Menteri Komunikasi) Fahmi Fadzil supaya kita hebahkan lagi (MKIM) untuk ia menjadi tarikan tersendiri,” kata Anwar lagi.

Julung kalinya, MKIM menganjurkan dua buah pameran serentak berjudul ‘Perjalanan Menelusuri Seni Islam’ dan ‘Alif Lam Ra: Kaligrafi Kontemporari Muslim’.

Pameran itu bagi menandakan peranan MKIM selama 25 dalam memacu hala tuju cabang kesenian dan kebudayaan Islam di Malaysia. – MalaysiaGazette