Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Top Glove Corp Bhd. mengesahkan hanya 17 daripada 21,000 atau kurang daripada 0.1 peratus pekerja di syarikat itu telah disahkan positif Covid-19 sejak Januari 2020.

Dalam kenyataannya hari ini, syarikat pengeluar sarung tangan itu berkata, pekerja yang dijangkiti virus Covid-19 itu adalah tidak bergejala dan kebanyakan mereka tidak mengalami demam.

Tambahnya, syarikat telah melakukan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi secara teliti di kilang yang terjejas, kediaman pekerja dan kenderaan syarikat seperti yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam masa yang sama katanya, penjejakan kontak sedang dilaksanakan dan pekerja-pekerja yang mempunyai kontak rapat dengan pekerja yang telah disahkan positif juga telah disaring dan diperintahkan menjalani kuarantin di rumah.

“Situasi ini tidak memberi sebarang impak kepada operasi Top Glove,” katanya.

Tambah syarikat tersebut, ia akan terus memastikan keselamatan dan kesejahteraan pekerja serta rakan kongsi luar terjamin.

– MalaysiaGazette