Visvanathan ketika ditemui pemberita di luar mahkamah.

GEORGE TOWN – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini memutuskan Hakim Mahkamah Koroner perlu menyerahkan dokumen berkaitan inkues kematian tahanan, Mohd Fadzrin Zaidi.

Dalam keputusan itu, Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid menegaskan Hakim Mahkamah Koroner telah terkhilaf dalam mempertimbangkan penyerahan dokumen berkaitan inkues kepada pihak peguam mewakili keluarga Mohd Fadzrin.

Hakim Mohd Radzi membuat keputusan itu setelah mendengar hujah daripada M. Visvanathan, peguam mewakili keluarga yang menegaskan tujuan dokumen itu diperlukan bukan untuk mencari sebarang kesalahan pihak tertentu, sebaliknya demi keadilan buat si mati.

Mahkamah turut memerintahkan Mahkamah Koroner memberikan dokumen seperti diari lokap, laporan polis berkaitan, rajah kasar dan gambar tempat kejadian, laporan perubatan, laporan dan gambar bedah siasat serta laporan kimia kepada pihak peguam keluarga.

Hakim Mohd Radzi menetapkan 7 Mei depan sebagai tarikh sambung inkues di Mahkamah Sesyen.

Media sebelum ini melaporkan, Mohd Fadzrin ditahan di Kampung Perlis mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum ditemui mati dipercayai menggantung diri di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara pada 20 November 2019.

Keluarga dimaklumkan polis bahawa Mohd Fadzrin membunuh diri dengan cara mengikat leher dengan baju sebelum digantung pada jeriji besi tingkap lokap.

Sementara itu, di luar mahkamah, ibu mangsa, Fadhelah Othman, 53, berkata, dia bersyukur dengan keputusan mahkamah hari ini dan berharap keadilan ditegakkan terhadap kejadian yang menimpa anak kedua daripada lapan beradik itu.

Fadhelah Othman.

“Anak saya kerja sebagai penggali kubur jadi bila pihak polis beritahu dia bunuh diri memang saya tidak boleh terima.

“Saya tidak pernah berhenti berdoa supaya semua proses berjalan lancar dan ada keadilan buat Mohd Fadzrin,” katanya kepada pemberita. – MalaysiaGazette