Mohd Khalid Harun

KUALA LUMPUR – Buat julung-julung kalinya Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) akan menganjurkan Majlis Anugerah Industri Pelancongan yang akan berlangsung pada 16 Disember ini.

Menurut Presiden persatuan berkenaan Datuk Mohd Khalid Harun, anugerah itu merupakan penghormatan dan penghargaan kepada industri pelancongan dalam negara yang kekal relevan meskipun menghadapi cabaran pandemik Covid-19 sebelum ini.

Dalam masa yang sama, katanya, anugerah tersebut akan menjadi motivasi kepada penggiat industri pelancongan.

“Ini (pandemik) adalah satu cabaran. Industri kita baru nak mula balik selepas sempadan dibuka semula selepas dua tahun, itu lama. Macam-macam cabaran dihadapi. Tapi industri berjaya mengharungi ketidakstabilan tersebut,” katanya ketika sidang media di sini hari ini

Turut hadir, Timbalan Presiden MATA Datuk Jefri Sulaiman.

Menurut Mohd Khalid, sebanyak 60 anugerah akan disampaikan kepada penggiat industri kelak.

“Semua penggiat industri berpeluang menyertai anugerah ini,” katanya lagi,

Mengulas lanjut beliau berkata, penilaian akan dibuat oleh barisan profesional yang berpengalaman dalam industri berkenaan termasuk wakil daripada Tourism Malaysia.

“Penilaian mereka buat berdasarkan kriteria yang kita tetapkan,” tambah beliau.

Sementara itu Mohd Khalid berkata, pihaknya bakal menjemput Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri untuk hadir anugerah berkenaan yang akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.-MalaysiaGazette