Wee Ka Siong sedang bertanya sesuatu kepada calon-calon IM di Pusat Latihan Memandu Berjaya Bhd di Taman Perling, Johor Bahru, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan akan mengumumkan formula penyelesaian holistik bagi menangani masalah lambakan calon institut memandu (IM) dalam tempoh terdekat ini.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong yang membuat lawatan Pusat Latihan Memandu Berjaya Bhd di Taman Perling, Johor Bahru hari ini berkata, dalam tempoh tujuh bulan, jumlah pelajar IM di sini adalah hampir menyamai jumlah keseluruhan pelajar bagi tempoh tahun 2018.

Ini menunjukkan kenaikan 42% pelajar telah mendaftar pada tahun ini berbanding tahun 2018.

Pada masa sama, katanya, bilangan tenaga pengajar di IM Berjaya turut berkurangan, daripada 215 pada tahun 2020 kini hanya tinggal 185 sahaja.

Rata-rata bilangan tenaga pengajar IM telah menurun manakala calon pelajar IM pula meningkat.

”Di Negeri Johor, terdapat 1518 orang pemegang Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM) di bawah 32 IM. Manakala jumlah calon yang ingin menjalani ujian memandu adalah seramai 3,639 setakat ini.

”Untuk orang awam yang berhasrat untuk mengambil ujian Lesen Memandu, tempoh yang diperlukan adalah lebih kurang 2 bulan sehingga 3 bulan. Tempoh yang sedikit panjang ini pastinya memberi kesan kepada orang ramai khususnya calon-calon yang mahu menjalani ujian memandu dengan segera,” katanya.

Ka Siong berkata, keadaang lebih teruk berlaku di Lembah Klang yang memerlukan sesuatu tindakan serta-merta bagi menyelesaikan kekusutan.

”Justeru, bagi menyelesaikan isu ini, semalam semasa mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Pengangkutan, saya mengarahkan JPJ supaya perkara lambakan calon atau “backlog’ diselesaikan segera,” tambahnya.

Menurut beliau, lawatan hari ini bagi mendapatkan gambaran jelas apa yang berlaku di lapangan dan hasil pemerhatian ini boleh dibandingkan dengan data-data yang dibekalkan oleh para pegawai JPJ.

Program seupama ini juga akan diadakan di negeri-negeri lain bagi melihat perbezaan senario khususnya berkaitan lambakan calon mengikut negeri. – MalaysiaGazette