Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Datuk Wilson Ugak Kumbong menyerahkan sijil penghargaan kepada wartawan Malaysia Gazette, Muhammad Arif Nizam (kanan) pada Majlis Iftar Penghargaan Media di Hotel Le Meridien, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 28 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) akan membuka cawangannya ke-17 pada hujung Jun ini.

Pengerusi NIOSH, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, cawangan itu akan beroperasi di Kapit, Sarawak.

Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan kakitangan NIOSH yang bertungkus lumus memastikan perjalanan agensi itu berjalan seperti biasa pada tahun lalu.

“Ini kerana sebagai sebuah entiti yang menjalankan perniagaan kami juga tidak terkecuali menerima tempias daripada pandemik Covid-19 yang telah menyebabkan banyak kelas latihan terpaksa ditangguhkan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Datuk Wilson Ugak Kumbong (dua kanan) diiringi naib pengerusinya, Datuk Senator T. Mohan (tiga kanan) beramah mesra dengan sebahagian pengamal media yang hadir pada Majlis Iftar Penghargaan Media di Hotel Le Meridien, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 28 APRIL 2021.

“Namun selepas Perintah Kawalan Pergerakan dilonggarkan, berkat usaha dan dedikasi tinggi daripada semua kakitangan telah berjaya memulihkan perniagaan seperti sedia kala.

“Saya dan Timbalan Pengerusi, Datuk T Mohan akan terus untuk memajukan serta menaiktarafkan lagi Institusi NIOSH ini ke peringkat lebih tinggi.

“Saya percaya kerjasama dan sokongan berterusan antara satu sama lain akan membantu kita pergi lebih jauh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan 365 Hari Lensa Perjalanan Bersama Pengerusi NIOSH dan Majlis Iftar Penghargaan Media di Hotel Le Meridien di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wilson Ugak berkata, tujuan utama majlis berbuka puasa itu diadakan supaya menjadi satu medium untuk merapatkan tali persaudaraan dan mewujudkan semangat kekeluargaan dalam kalangan warga kerja NIOSH dan wakil media.

“Diharapkan agar majlis ini dapat mengeratkan silaturrahim diantara kita semua dalam bulan yang diberkati ini,” katanya.

Pada majlis sama, portal MalaysiaGazette turut menerima sijil penghargaan daripada NIOSH. – MalaysiaGazette