Hassan Karim (tengah) mempengerusikan Town Hall Isu Kenaikan Cukai Taksiran MBPG Bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Taman Scientex hari ini.

PASIR GUDANG – Penduduk daerah ini boleh memfailkan bantahan berhubung nilaian baharu cukai harta di mahkamah selepas Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) masih mahu menguatkuasakan peraturan baharu itu pada tahun depan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan penduduk berhak membawa kes itu ke mahkamah kerana pihak yang dikenakan cukai ada locus standi.

“Jika cukai ini dilaksanakan walaupun dalam kadar yang tinggi dan tidak munasabah, walau sudah dirayu dan dibantah, maka rakyat ada hak ambil tindakan terhadap Datuk Bandar dan Ahli Majlis MBPG,” katanya  dalam Town Hall Isu Kenaikan Cukai Taksiran MBPG Bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Taman Scientex hari ini,

Rabu lalu, Ketua Whip Ahli Majlis MBPG, Datuk Mohd Amin Ahmad yang mempengerusikan mesyuarat berhubung isu kenaikan cukai itu berkata, MBPG sedia menimbang semula perlaksanaan cukai baharu itu yang dicadangkan naik pada kadar antara 40 sehingga 50 peratus bermula tahun depan.

Bagaimanapun, penduduk dibenarkan membuat bantahan secara bertulis atau menerusi dalam talian sebelum ditutup pada Selasa ini.

Lebih 50 peratus daripada 98,480 pemilik harta di daerah ini  bakal dikenakan cukai baharu namun hanya 1,300 penduduk yang membuat bantahan.

“Jika  ada suara dua pertiga  atau lebih 50 peratus yang menolaknya, sudah mesti Datuk Bandar Pasir Gudang dan Ahli Ahli-ahli Majlis akan mempertimbangkannya,” jelas beliau.

Hassan berkata, beliau akan bertemu dengan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Timbalannya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru pada Selasa ini untuk menyuarakan masalah tersebut.

“Saya juga akan membangkitkan perkara ini  dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Johor Bahru minggu depan, begitu juga maklumkan kepada Exco kerajaan negeri yang terlibat. Sebelum ini saya tidak pernah dimaklumkan mengenai kenaikan kadar cukai baharu ini,” katanya.- MalaysiaGazette