Tokoh korporat, Tan Seri Robert Tan Hua Choon hadir atas dakwaan rasuah perolehan membekal dan mengurus fleet kenderaan kerajaan Malaysia ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 03 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Spanco Sdn.Bhd (Spanco), Tan Sri Tan Hua Choon hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan menipu hingga mendorong Kementerian Kewangan menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan berjumlah RM3.9 bilion, lima tahun lalu.

Bagaimanapun, Hua Choon yang dikenali sebagai Robert Tan mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Suzana Hussin.

Menurut kertas pertuduhan, Hua Choon didakwa telah menipu Kementerian Kewangan Malaysia dengan memperdayakan Jawatankuasa Pembuka Peti Tender bagi tender bertajuk ‘Request For Proposal for Supply, Repair, Maintenance and Management of Government Malaysia Vehicle Fleet’, Unit Kerjasama Awam Swasta, Kementerian Kewangan bahawa terdapat pemilikan saham, sekurang-kurangnya 30 peratus oleh Bumiputera di Syarikat Spanco Sdn. Bhd. melalui dokumen bertajuk ‘Appendix IV (Annex i)Bidder’s Profile.

Dengan itu, beliau secara tidak jujur didakwa telah mendorong Kementerian Kewangan untuk menganugerahkan kontrak ‘Supply, Repair, Maintanance and Management of Government Malaysia Vehicle Fleet’ bernilai RM3,966,386,628 bilion kepada syarikat Spanco Sdn. Bhd yang mana Kementerian Kewangan tidak akan berbuat begitu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Hua Choon dituduh melakukan perbuatan itu antara 27 dan 28 Februari 2019 di Bilik Tender Unit Kerjasama Awam Swasta, Kementerian Kewangan, Aras 10, Blok Menara, Menara Usahawan di Presint 2, Persiaran Perdana, Putrajaya.

Tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana menipu.

Jika disabitkan kesalahannya beliau boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Hua Choon yang menjawab pertanyaan jurubahasa bahawa beliau memahami pertuduhan itu berkata: “Faham, saya tidak bersalah, saya sudah tolong negara banyak lama,”.

Sementara itu, barisan Timbalan Pendakwaraya yang diketuai Mahadi Abd. Jumaat berhujah bahawa ia merupakan kes berprofil tinggi pertama yang dihadapkan ke mahkamah pada 2024.

Beliau mencadangkan wang jaminan sebanyak RM2 juta dengan seorang penjamin bercagar selepas mengambil kira nilai pertuduhan, status orang kena tuduh dan keseriusan kesalahan yang dilakukan yang mana ia dipersetujui pihak pendakwa raya dan pembelaan.

Selain itu Mahadi turut mencadangkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa atau pasport diplomatik, jika ada, sehingga kes selesai dibicarakan.

Pendakwa raya itu juga mencadangkan tertuduh dikehendaki melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat di Kuala Lumpur hingga kes selesai selain tidak dibenarkan mengganggu atau berhubung dengan mana-mana saksi pendakwaan sama ada secara terus atau melalui pihak ketiga.

Dalam pada itu barisan peguambela, Datuk Wan Azmir Amin Othman berkata, anak guamnya berusia 83 tahun dan mengalami penyakit tekanan tinggi, sakit lutut dan sakit belakang yang memerlukan bantuan perubatan.

“Puan, pergerakan anak guam (Hua Choon) juga bergantung kepada tongkat dan dibantu pembantu beliau untuk perjalanan hariannya.

“Lagipun, dalam kes ini penjamin adalah anak tertuduh sendiri dan walaupun jumlah wang jaminan yang dicadangkan RM2 juta adalah amat tinggi tetapi tidak dibantah anak guam saya.

“Oleh kerana permintaan serah pasport seterusnya sekat pergerakan anak guam saya, syarat tambahan lapor diri setiap bulan dirasakan tidak perlu

“Bagaimanapun saya memohon mahkmah mempertimbangkan latar belakang kesihatan anak guam saya dan membenarkan melapor diri tiga bulan sekali,” ujar beliau.

Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Suzana menetapkan

Mahkamah turut memerintahkan syarat tambahan yang dicadangkan pasukan pembelaan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa dan pasport diplomatik sekiranya ada kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan serta dilarang menghubungi semua saksi pendakwaan secara terus atau menerusi pihak ketiga.

Tertuduh diarahkan untuk melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat dengan alamat kediaman dua bulan sekali sehingga kes perbicaraan selesai.

Hakim 4 Jun ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette