Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bercakap kepada media selepas hadir ke program retreat Kimma dan Gerak Gempur Jentera di Pejabat UMNO Negeri, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 23 JANUARI 2022.

JOHOR BAHRU – Peningkatan mendadak jumlah penggundi baharu berumur 18 tahun tidak menimbulkan sebarang kebimbangan kepada Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebaliknya parti menganggap pertambahan seramai 700,000 pengundi baharu termasuk berusia 18 tahun di negeri itu sebagai satu cabaran kepada BN.

Menurut Ahmad Maslah, di kawasan parlimennya iaitu di Pontian sahaja mencatatkan penambahan 18,400 pengundi baharu termasuk berusia 18 tahun menjadikan keseluruhan terdapat 75,000 orang pengundi.

“Kami yang menyokong di Dewan Rakyat tentang perkara ini, jadi lambat laun kita akan berhadapan dengan perkara ini. Jadi lebih baik kita tidak lari daripada segala permasalahan ini, jadi kita hadapilah.

“Kita anggap ia sebagai satu cabaran dalam politik. Kita harap ibu dan bapa, abang dan kakak, yang mana ahli UMNO dan BN hendaklah memujuk mereka ini.

“Mereka bukan orang luar mereka anak kita, mereka adalah anak secara kita. Mereka adalah rakan taulan kita. Mereka adalah jiran anak kita. Jadi mereka ada sekeliling kita bukanlah mereka entah dari mana. Tidak,” katanya.

Ahmad berkata, ahli-ahli parti BN perlu memastikan anak-anak mereka mengundi parti itu dalam PRN Johor nanti.

Tambah beliau, keseluruhan terdapat 2.5 juta pengundi di JOhor dari 1.8 juta orang sebelum ini.

Beliau menjelaskan pendaftaran pengundi berusia 18 tahun telah dilaksanakan pada 16 Januari lalu.

Mengikut taklimat Suruhanjaya Pilihan Raya, pendaftaran baharu akan dilaksanakan setiap 16 hari bulan setiap bulan yang akan diwartakan secara automatik.

“Bila dah diwartakan, hari-hari ada orang 18 memasuki umur tahunkan? Jadi setiap 16 hari bulan diwartakan.

“Kita nak pilihan raya Johor ini tak tahu Februari atau Mac. Jadi tentunya mereka ini akan jadi pengundi,” katanya.

Tambahnya, bantahan yang dibuat sehingga Julai berkaitan daftar pilihan raya tidak berkaitan pengundi 18 tahun tetapi terhadap mereka yang bertukar alamat secara tiba-tiba dari tempat lain.

Namun bantahan berkaitan isu itu tidak ramai.

Ahmad ditemui selepas menghadiri program Gerak Gempur Jentera Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) di Pejabat Perhubungan UMNO Johor.

Turut hadir Presiden Kimma Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader.- MalaysiaGazette