Saksi prosiding, Saleha Lajin di Mahkamah Rayuan untuk memberi keterangan berkaitan prosiding siasatan kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia di Istana Kehakiman, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 29 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Saksi kelapan, Saleha Lajim memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) tidak dimaklumkan tujuan aktiviti forex pada 1993, malahan tidak mengetahui kumpulan yang terlibat menguruskan urusniaga tersebut.

Bekas Pengurus Akaun Jabatan Akaun Negara itu berkata, beliau tidak mengetahui secara terperinci bentuk aktiviti forex yang dijalankan BNM pada masa itu dan individu terdahulu yang memegang jawatan sebelum beliau ganti, Ishak Ismail ada memaklumkan secara ringkas mengenai kewujudan aktiviti tersebut.

“Saya telah dimaklumkan oleh Encik Ishak Ismail bahawa BNM ada menjalankan aktiviti forex tetapi tidak diberitahu sama ada ianya semata-mata untuk menstabilkan ringgit mahu pun berbentuk spekulasi.

“Jabatan Bank yang menjalankan aktiviti tersebut. Tetapi saya tidak tahu siapa individu yang menjalankan aktiviti forex tersebut, saya hanya tahu mereka adalah dealers. Saya juga tidak tahu berapa orang dealer yang ada,” katanya semasa sesi prosiding di Istana Kehakiman hari ini.

Selain itu, Saleh juga tidak mengetahui jumlah had harian maksimum yang dibenarkan kepada dealer untuk aktiviti forex yang dijalankan.

Menurut beliau, terdapat laporan mingguan berhubung aktiviti forex itu yang disediakan dan akan dibentang dalam mesyuarat mingguan tetapi tiada minit mesyuarat disediakan dalam mesyuarat tersebut.

“Saya tidak ingat apa nama mesyuarat tersebut. Tiada minit disediakan bagi mesyuarat tersebut. Mesyuarat diadakan di bilik Mesyuarat Timbalan Gabenor,” katanya.

Dalam pada itu, Saleha turut mengesahkan penyata kewangan untung rugi aktiviti forex disediakan oleh Jabatan Akaun dan dinyatakan dalam penyata kewangan tahunan BNM.

Bagaimanapun, penyata tahun 1993 tidak dinyatakan jumlah untung rugi daripada aktiviti forex dalam penyata kewangan tahunan sebaliknya ia dikategorikan sebagai perbelanjaan tertunggak (Deffered Expenditure).

Mengulas lanjut, Saleha berkata, menerusi penyata kewangan tahunan tahun 1993 beliau tidak ingat berapakah jumlah kerugian keseluruhan yang dialami BNM tetapi jumlahnya agak besar.

Katanya, susulan kerugian tersebut Timbalan Gabenor, Tan Sri Datuk Dr Lin See Yan telah mengarahkan pihaknya membuat pengubahsuaian pada penyata kewangan tahunan.

“Dalam mesyuarat laporan mingguan itu juga Timbalan Gabenor telah memberikan arahan lisan untuk membuat pengubahsuaian pada penyata kewangan tahunan yang akan dikeluarkan nanti.

“Atas arahan lisan itu, saya kemudiannya telah memberikan arahan kepala kakitangan di Jabatan Akaun untuk membuat pengubahsuaian bagi menyediakan draf board paper.

“Saya percaya pihak atasan pada waktu itu telah tahu status untung rugi aktiviti forex yang dijalankan berdasarkan laporan mingguan yang diberikan semasa dalam mesyuarat,” kata Saleha yang juga saksi kelapan ketika prosiding.

Katanya, ketika itu Gabenor Jabatan Akaun adalah Tan Sri Datuk Jaffar Hussien dan Tan Sri Ahmad Mohamad Don manakala Timbalan Gabenor adalah Tan Sri Datuk Dr Lim See Yan.

RCI ditubuhkan khas untuk menyiasat skandal yang berlaku pada 1990-an di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad. Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan menteri kewangan ketika itu.

Siasatan RCI itu dipengerusikan bekas ketua setiausaha negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Tan Sri Saw Choo Boon; Ahli Institut Akauntan Malaysia K Pushpanathan; dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Datuk Dr Yusof Ismail. – MalaysiaGazette