Tertuduh didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini selepas mengaku bersalah memukul sehingga cedera adik iparnya menggunakan sebatang kayu Mei lalu.

MELAKA – Padah memukul sehingga cedera adik iparnya menggunakan sebatang kayu, seorang pemandu lori didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.

Majistret Nabiha Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, M Jagan, 37, yang membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan ‘soft tissue injury’ terhadap M.R. Livesh, 29, menggunakan sebatang kayu di Plaza Mahkota 11 dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira jam 3.30 petang 31 Mei lalu.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Ishak Kari merayu hukuman ringan kerana sudah menyesal atas kesalahan pertama dilakukan anak guamnya itu.

Tertuduh juga katanya, telah berbaik-baik dengan pengadu dalam kes terbabit selain hanya bekerja sebagai pemandu lori berpendapatan purata RM1,500 sebulan dan perlu menyara isteri termasuk tiga anak yang masih kecil.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette.