Che Alias Hamid
Che Alias Hamid

KUALA LUMPUR – Cadangan Menteri Industri Utama, Teresa Kok agar pekebun dan peneroka beralih kepada tanaman baharu seperti buluh, nanas dan kelapa bagi menggantikan tanaman kelapa sawit sangat mengecewakan.

Rentetan harga minyak sawit yang merudum sejak kebelakangan ini berikutan tekanan di pasaran antarabangsa, kerajaan seharusnya memberikan tumpuan dalam menyelesaikan isu kelapa sawit dahulu.

Menurut Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, kerajaan juga harus terus mengadakan perbincangan dan bantahan mengenai isu diskriminasi minyak sawit di negara Eropah.

“Kerajaan perlu meningkatkan kualiti kepelbagaian produk sawit sama ada dalam dan luar negara.

“Pihak menteri dan agensi yang terbabit iaitu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) seharusnya memberi fokus kepada usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menangani isu dalam industri sawit itu sendiri,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Ahad lalu, Teresa menyatakan hasrat kerajaan untuk melihat pekebun mempunyai lebih daripada satu tanaman sebagai punca pendapatan yang bertujuan untuk melawan sentimen anti kelapa sawit di Eropah.

Katanya, atas sebab itu kerajaan menyarankan rakyat supaya mengehadkan peluasan tanaman kelapa sawit.

Menurut Che Alias, usaha kerajaan memperluaskan pasaran baharu di negara lain seperti Iran, Turki dan Afrika harus dipertingkatkan lagi.

Justeru, katanya, kerajaan tidak boleh mengambil jalan mudah dengan menukar tanaman komoditi itu dengan tanaman yang tidak pasti keberhasilan dan kesesuaiannya.

“Pada masa sama menukar sesuatu tanaman komoditi kepada tanaman alternatif lain bukan sesuatu yang mudah.

“Tidak dinafikan dengan cadangan kerajaan menyarankan pekebun kecil tidak bergantung kepada satu jenis tanaman sahaja merupakan satu alternatif bagi membantu pekebun kecil, tetapi Kerajaan perlu menyediakan perancangan yang teliti agar menjadi satu panduan kepada rakyat,” katanya.

Beliau menyatakan, menteri sepatutnya mengadakan perbincangan yang realistik dan holistik bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dalam cadangan penanaman tanaman alternatif lain dapat dicapai.

Katanya, sekiranya menteri berkenaan bersungguh-sungguh dalam cadangan tanaman alternatif lain, kajian perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira cadangan dan pandangan rakyat. – MalaysiaGazette