Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata. (Gambar fail)

KUCHING – Warga Sibu dinasihatkan untuk tidak terlalu risau dengan keselamatan mereka susulan kejadian dua lelaki melepaskan tembakan dan mencederakan tiga individu di bandar itu 1 Jan lepas, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata.

Beliau berkata polis sedang berusaha keras menyiasat kes itu termasuk mengesan dari mana datangnya senjata api yang digunakan.

“Tidak perlu risau, semua tindakan-tindakan yang padu (sedang dilakukan) untuk mengatasi perkara ini, keadaan keselamatan di Sibu dan juga di seluruh Sarawak masih terkawal,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut berhubung kes terbabit supaya tidak mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang itu, dua suspek bertopi keledar dikatakan tiba di sebuah kedai kopi di Jalan Wong King Huo, Sibu, menggunakan dua buah motosikal sebelum melepakan beberapa das tembakan ke arah sekumpulan lelaki di premis itu sebelum melarikan diri.

Insiden itu telah menyebabkan seorang lelaki mengalami kecederaan di bahagian paha dan kaki kanan, manakala dua lagi rakannya masing-masing terkena tembakan pada bahagian-bahagian bahu kiri dan kanan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu juga diminta menghubungi pegawai penyiasat ASP Mingat Bakil dengan menelefon 019-8867978 atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – BERNAMA