Teo Nie Ching.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,689 pemancar siap dinaik taraf serta 106,331 premis tersedia dengan capaian gentian optik melalui projek Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) di Sarawak, setakat suku kedua 2023.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, menerusi Jendela juga, sebanyak 213 menara komunikasi baharu siap dibina dan beroperasi daripada 864 menara yang dirancang.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut mengguna pakai teknologi satelit bagi memperluaskan liputan internet terutamanya di kawasan pedalaman.

“Sebanyak 523 lokasi telah menikmati perkhidmatan internet melalui satelit yang dikenali sebagai Broadband Wireless Access (BWA),” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu beliau menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) minta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan sejauh mana pelaksanaan projek Jendela di Sarawak dan bila projek ini akan siap sepenuhnya termasuk di kawasan Parlimen Igan.

Selain itu, peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sarawak telah mencapai 87.52 peratus, setakat suku kedua tahun 2023,

“Baki daripada setiap inisiatif tersebut dijangka siap secara berperingkat menjelang penghujung 2025,” katanya.

Manakala di kawasan Parlimen Igan pula, sebanyak tujuh dari 14 menara baharu telah siap dan beroperasi.

“Kesemua 50 stesen pemancar yang dirancang untuk dinaik taraf telah siap sepenuhnya,” katanya.

Beliau juga berkata, perkhidmatan jalur lebar talian talian tetap, sejumlah 619 dari 2,791 premis yang dirancang telah tersedia dengan sambungan gentian optik.

“Kesemua dua lokasi perkhidmatan BWA yang dirancang juga telah siap dan beroperasi,” katanya.

Sementara itu, SKMM sedang merangka solusi bersesuaian menggunakan pelbagai teknologi bagi penyediaan perkhidmatan internet bagi baki di kawasan berpenduduk yang masih belum mendapat liputan.

“Terdapat pelbagai kekangan yang dihadapi oleh SKMM serta penyedia perkhidmatan komunikasi di dalam melaksanakan inisiatif perluasan liputan internet di kawasan pedalaman.

“Antaranya faktor taburan penduduk yang berselerak dengan kepadatan penduduk rendah, akses melalui sungai dan jalan tidak boleh dilalui jentera berat serta kawasan tiada bekalan elektrik tetap tersedia bagi kegunaan menara komunikasi,” katanya. – MalaysiaGazette