Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Penganjuran Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) lebih murah berbanding Formula Satu (F1) dan Formula E, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Beliau berkata, penganjuran MotoGP dianggarkan melibatkan perbelanjaan RM53.2 juta berbanding F1 yang mana hak penganjurannya terlalu tinggi iaitu sebanyak RM228 juta.

“Anggaran untuk Formula E, kita tak dapat maklumat. Tetapi anggaran berdasarkan kajian adalah lebih kurang RM12O juta. Dua kali ganda berbanding MotoGP.

“Walaupun semua orang mengatakan penganjuran ini bagus, penganjuran itu bagus, tetapi kita kena tengok kemampuan dan minat rakyat terhadap sukan tersebut.

“Kenapa MotoGP? Seperti yang saya katakan, 182,000 pengunjung akan datang dan Litar Antarabangsa (Petronas) Sepang memerlukan acara MotoGP ini,” katanya di Dewan Rakyat.

Hannah berkata demikian semasa sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2023, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.

Ditanya tentang laporan Malaysia akan menganjur semula perlumbaan F1, Hannah berkata, perkara itu timbul disebabkan terdapat pihak yang membida tanpa kelulusan kerajaan.

“Selepas bida, mereka datang berjumpa, kata kita sudah dapat bidaan dan nak duit untuk anjurkan. Jadi tidak adil untuk kerajaan kalau ada pihak yang pergi bida tanpa mendapatkan kelulusan,” katanya.

Akta Pembangunan Sukan 1997 memperuntukkan mana-mana aktiviti sukan tidak boleh ada pihak yang membuat tawaran atau menawarkan diri menjadi tuan rumah bagi apa-apa pertandingan serta acara sukan antarabangsa di Malaysia tanpa kelulusan bertulis menteri terlebih dahulu. – MalaysiaGazette