Duta jenama Elrah Exclusive, Khairy Jamaludin hadir pada Tayangan Filem Premier Eksklusif Elrah sempena Ulang Tahun ke-10 di Dedi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 21 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Bekas menteri, Khairy Jamaluddin mengakui beliau tidak mempunyai keperluan untuk kembali ke bidang politik buat masa ini.

Sebaliknya bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu  gembira dengan kerjaya sebagai hos audio siar (podcast), penyampai radio dan terkini wajah kempen Elrah Exclusive.

Bekas Menteri Kesihatan itu tidak tahu ke mana hala tuju kerjaya namun yang pasti apa yang dilakukannya sentiasa dekat di mata rakyat.

“Tidak tahu lagi tetapi apa yang boleh saya katakan tengah enjoy kerjaya saya sekarang dan tiada apa-apa keperluan untuk saya kembali ke bidang politik buat masa ini.

“Cabang karier saya masih lagi di mata rakyat sebagai seorang broadcaster, deejay dan menyertai kempen ini tetapi ke mana belum tahu lagi,” katanya.

Pengasas Elrah Exclusive, El Azman bercakap kepada media ketika hadir pada Tayangan Filem Premier Eksklusif Elrah sempena Ulang Tahun ke-10 di Dedi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 21 MAC 2024.

Beliau berkata demikian kepada media selepas ditemui selepas hadir pada Tayang Filem Premier Eksklusif Elrah sempena ulangtahun ke-10 Elrah Exclusive di sini hari ini.

Khairy sebelum ini dilantik antara lapan duta jenama baju Melayu popular itu bersama Sharnaaz Ahmad, Beto Kusyairy, Meerqeen, MK dan Amir Ahnaf selain rakan penyampai audio siar (podcast) Keluar Sekejap, Shahril Hamdan.

Bermula sebagai ahli politik namun selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, Khairy bertukar kerjaya sebagai penyampai podcast, penyampai radio di Hot FM dan kini sebagai model.

Mengulas lanjut, Khairy  bersetuju menyertai Kempen Elrah Ekxclusive pada tahun ini kerana pengasas jenama itu, El Azman.

“Saya melihat beliau sebagai usahawan yang berjaya selain saya juga gemar memartabatkan baju Melayu bukan pada acara rasmi sahaja tetapi bila-bila masa,” katanya.

Sementara itu, dalam filem pendek berjudul Mak terbitan Elrah Exclusive itu, Khairy dan Shahril turut menunjukkan bakat lakonan mereka.

“Mengenai watak dalam filem itu, kalau ada rezeki dan peluang seperti Elrah sebut (berlakon filem), Insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette

Pengasas Elrah Exclusive, El Azman (tengah) bergambar bersama duta-duta yang hadir pada Tayangan Filem Premier Eksklusif Elrah sempena Ulang Tahun ke-10 di Dedi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 21 MAC 2024.