Kebakaran tempat simpanan bahan kimia berjadual yang berlaku di Seremban semalam. Foto: Ihsan pembaca

KUALA LUMPUR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pusat pengurusan sisa Cenviro Sdn Bhd (Kualiti Alam) memantau keadaan udara dan air di persekitaran susulan kebakaran tempat simpanan bahan kimia berjadual di pusat itu di Seremban semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, pihaknya sudah ke tempat kejadian bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai insiden tersebut.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menjalankan siasatan untuk menentukan punca kebakaran selepas menerima panggilan dari tempat kejadian.

“Api berjaya dikawal daripada merebak ke kawasan lain dan pihak kami masih menunggu jangkaan kerosakan daripada pihak Kualiti Alam,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Veerapan berkata, siasatan tambahan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran.

“Kami mahu memberi kepastian bahawa pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri mengambil tanggungjawab untuk menangani kejadian ini dengan cekap dan berkesan.

“Kami masih menunggu laporan terperinci manakala pihak Kualiti Alam memantau keadaan udara dan air di persekitarannya,” ujarnya.

Sementara itu, Cenviro meminta masyarakat tetap tenang ketika mereka berusaha mengekang api di pusat tersebut.

“Pihak berkuasa yang berkaitan termasuk JBPM serta polis berada di tempat kejadian dan menguruskan situasi.

“Semua pekerja selamat dievakuasi ke tempat perjumpaan yang ditetapkan, dan orang awam dinasihatkan tidak panik atau menyebar maklumat palsu di media sosial atau aplikasi pesanan,” katanya.

Tambah beliau, pihak syarikat akan terus memberi kemas kini sebaik sahaja maklumat baru tersedia dan maklumat lanjut atau pertanyaan, boleh menghubungi Ismawati Mohd Shah di +0193610602 atau emel [email protected] atau Amirul Syazwan Halim di +0192835803 atau emel [email protected]. – MalaysiaGazette