NIBONG TEBAL – Kerajaan negeri Pulau Pinang akan meneliti kenaikan gaji penjawat awam negeri ini serta emolumen yang diperlukan bagi pelaksanaan tersebut.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kata putus berhubung kenaikan itu hanya boleh dicapai selepas pihaknya melakukan perbincangan dengan Jabatan Kewangan negeri termasuk melihat status kewangan negeri.
“Saya percaya (kenaikan gaji penjawat awam pada peringkat negeri) akan menjadi cabaran kepada setengah-setengah negeri untuk menampung perbelanjaan tambahan ini.
“Jadi kalau ditanya adakah negeri akan ikut, kita akan mendengar pandangan Jabatan (Kewangan) dulu tentang prosedur kenaikan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Acheh di sini, hari ini.
Tambah Kok Yeow, isu kenaikan gaji penjawat awam ini akan dibincangkan dalam Mesyuarat Exco akan datang.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus bermula 1 Disember ini.
Kenaikan itu adalah tertinggi dalam sejarah negara berbanding lebih 13 peratus sebelum ini
Berucap pada majlis sambutan Hari Pekerja di Pusat Konvensyen Putrajaya di sini, beliau berkata, pada masa ini, jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam sedia ada adalah RM1,795 sebulan. – MalaysiaGazette
















