Anthony bersama delegasi ketika menghadiri persidangan tahunan Seatrade Cruise Asia 2024 bersama delegasi pada 8 hingga 11 April lepas.

KUALA LUMPUR – Malaysia meluahkan minat menjadi tuan rumah Seatrade Cruise Asia 2026 untuk menunjukkan keazaman dalam mempromosi industri pelayaran sebagai pemangkin ekonomi negara.

Kementerian Pengangkutan (MoT) menerusi kenyataan memaklumkan, kesungguhan itu disampaikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke  ketika menghadiri persidangan tahunan Seatrade Cruise Asia 2024 bersama delegasi pada 8  hingga 11 April lepas.

Beliau merupakan Menteri Pengangkutan Malaysia pertama yang menghadiri persidangan tahunan tersebut yang mengumpulkan pakar industri dari 80 syarikat pelayaran di 120 negara di
Miami, Florida.

“Permintaan untuk pelancongan pelayaran telah tumbuh dengan pesat di China dan sedang berkembang di India. Kepelbagaian budaya Malaysia dan rantau ASEAN sememangnya boleh menawarkan pengalaman bercuti yang menarik kepada pelancong China dan India.

“Kepesatan pelancongan pelayaran juga memberi kesan limpahan ekonomi bagi peruncitan, makanan dan minuman serta perhotelan,” katanya dalam kenyataan itu.

Anthony turut mempelawa pengendali kapal pelayaran untuk memanfaatkan infrastruktur pelabuhan pelayaran Malaysia termasuk Langkawi Cruise Terminal, Swettenham Pier Cruise Terminal in Penang, Port Klang Cruise Terminal dan Melaka International Cruise Terminal yang akan datang di pesisiran Selat Melaka serta pelabuhan-pelabuhan Sabah dan Sarawak di sepanjang pesisiran Laut China Selatan.

Katanya, Kementerian Pengangkutan turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi homeport yang terpilih di rantau Asia-Pasifik.

Tambah beliau, industri pelayaran juga dapat membantu dalam pembangunan rantaian bekalan hijau di Malaysia termasuk shore power dan green bunkering di Malaysia selaras dengan sasaran pelepasan sifar bersih di bawah Strategi Pertubuhan Maritim Antarabangsa mengenai Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau dari Kapal. – MalaysiaGazette