Razarudin Husain

SHAH ALAM – Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar disifatkan sebagai legenda yang pernah memimpin Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 20 tahun.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata,, sepanjang perkhidmatan Allahyarham banyak perkara baik telah dilakukan demi memastikan keselamatan negara terjamin.

“Pada saya Allahyarham merupakan seorang legenda untuk PDRM dan pada masa Allahyarham berkhidmat.

“Pada masa itu juga dalam keadaan aman dan kebajikan pegawai dan anggota PDRM memang terjaga. Beliau legenda dalam PDRM,” katanya ketika ditemui memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham, di sini, hari ini.

Menurut Razarudin, beliau dan bapanya pernah berkhidmat di bawah Mohammed Hanif dalam PDRM kira-kira 10 tahun sebelum ini.

Sementara itu, beliau mengesahkan jenazah Allahyarham akan dimandikan, disembahyangkan di Masjid Negara sebelum dikebumi di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Mohammed hanif dilaporkan meninggal dunia jam 2.15 pagi tadi.

Dilahirkan di Teluk Intan, Perak, beliau dilantik menjadi Ketua Polis Melaka pada 7 September 1970 dan kemudiannya sebagai Ketua Polis Selangor pada 6 Disember 1971.

Beliau dilantik menjadi Timbalan Ketua Polis Negara pada 1 Februari 1973 sebelum menyandang jawatan Ketua Polis Negara pada 8 Jun 1974. – MalaysiaGazette