Kredit JBPM

ALOR SETAR – Lima bilik darjah di Sekolah Kebangsaan (SK) Laka Selatan dekat Changlun musnah dalam kebakaran hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, Penolong Penguasa Bomba Zulkifli Manaf dalam kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 3.09 petang sebelum tiba di lokasi kira-kira 12 minit kemudian.

“Seramai 20 anggota dari BBP Bukit Kayu Hitam, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Changlun dan BBP Arau, Perlis telah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, anggota mendapati berlaku kebakaran membabitkan beberapa bilik darjah di tingkat tiga dan telah merebak ke bahagian bumbung bangunan sekolah berkenaan,” katanya sambil menambah kebakaran membabitkan lima bilik darjah yang dianggarkan terbakar 70 peratus.

Bagaimanapun katanya tiada mangsa terlibat kerana ketika kejadian semua murid telah pulang ke rumah dan kebakaran disedari pengawal keselamatan sekolah.

Zulkifli berkata api dapat dikawal pada 3.40 petang dan kerja-kerja sedang dilakukan bagi memastikan tiada kebakaran susulan. – BERNAMA