Onn Hafiz meninjau sendiri pembangunan projek TMIYC di Muar yang kini mencapai  98 peratus.

JOHOR BAHRU – Kerja-kerja bagi menaik taraf untuk projek Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) di Muar kini mencapai tahap 98 peratus.

Menteri Besar Johor,  Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, projek berkenaan kini memasuki fasa akhir bagi kerja-kerja penyiapan gelanggang serbaguna, pemasangan rumput padang bola serta kerja-kerja pengindahan landskap.

Beliau yang meninjau TMIYC turut melahirkan rasa syukur mengenai pencapaian projek berkenaan.

“Syukur alhamdulillah, saya telah turun ke Muar bagi melihat sendiri kemajuan terkini projek TMIYC. Saya gembira melihat kemajuan projek berkenaan.

“Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas keprihatinan Tuanku memperkasa belia Negeri Johor dengan pembangunan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

“Suka untuk saya kongsikan, pelbagai fasiliti tersedia untuk golongan belia di sini. Antaranya gelanggang futsal, sepak takraw,” ujarnya.

Hafiz Onn berkata, pelbagai fasiliti lain juga disediakan di pusat rekreasi tersebut seperti, tenis, padang bola sintetik, gimnasium, ‘skatepark’, asrama belia, gelanggang serbaguna, kafeteria, surau dan taman permainan.

“Terima kasih kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Pejabat Daerah Muar, agensi-agensi terlibat serta pihak kontraktor yang bertungkus lumus dan bekerjasama dalam memastikan projek TMIYC ini mampu disiapkan sesegera mungkin.

“Saya yakin selepas mendapat sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), TMIYC Muar akan dibuka untuk kegunaan orang ramai.

“Kerajaan negeri sentiasa komited dan akan terus berusaha dalam memastikan segala pembangunan di Johor disiapkan sebaik mungkin,” katanya lagi.

Beliau turut berharap dengan ada pembangunan seumpama itu, Johor dapat melahirkan belia yang aktif, sihat dan berketerampilan. – MalaysiaGazette