Polis menyerbu sebuah kediaman dua tingkat di Bandar Rimbayu, Teluk Panglima Garang, Selangor, semalam untuk menyelamatkan tiga pembantu rumah warga asing. Foto Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Tiga pembantu rumah warga asing yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi dengan tidak dibayar gaji sejak enam bulan lalu diselamatkan polis di sebuah kediaman dua tingkat di Bandar Rimbayu, Teluk Panglima Garang, Selangor, semalam.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mereka ditemui menerusi Op Pintas yang dilaksanakan oleh Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada kira-kira jam 11 malam.

“Dalam serbuan itu, kita berjaya menyelamatkan tiga wanita yang berusia 30 hingga 44 tahun membabitkan dua Indonesia dan seorang Nepal.

“Polis turut menahan seorang wanita tempatan berusia 62 tahun merupakan majikan mangsa serta seorang wanita Indonesia berusia 37 tahun.

“Penahanan dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambahnya beliau, semasa serbuan dilakukan, kesemua mangsa berada di dalam rumah dan mereka dipercayai bekerja tanpa mendapat bayaran sementara menunggu mendapat pekerjaan di tempat lain.

“Hasil siasatan awal mendapati, suspek wanita tempatan disyaki merupakan ejen pekerja pembantu rumah tidak berdaftar dan menjanjikan mangsa gaji RM1,200 sebulan,” jelasnya.

Soffian juga memaklumkan, kesemua tangkapan itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette