Gambar hiasan.

KUALA LUMPIR – Seorang wanita malang ditolak suaminya sehingga jatuh ke dalam gaung di Kilometer 31.2 Gerik kira-kira jam 4 hingga 5 pagi dalam kejadian 27 Julai 2024.

Bagaimanapun, wanita berkenaan berjaya merangkak naik ke bahu jalan dan dijumpai oleh orang ramai.

Ketua Polis Daerah Gerik, Supritendan Zulkifli Mahmood berkata, hasil siasatan awal, mangsa telah dibawa balik dari tempat kerja di Kuala LumpurĀ  oleh suaminya pada pukul 5.30 petang, 26 Julai lalu.

Suaminya kemudian melalui lebuh raya utama untuk ke Perak dengan alasan mahu pulang ke kampung.

Sepanjang perjalanan, pasangan ini bertengkar mulut dan setibanya di suatu tempat, suspek memberhentikan kereta dan mengugut mahu membunuh isterinya dengan sebilah pisau.

“Mangsa merayu dan berlaku pertengkaran di dalam kereta sambil suspek mencekik leher mangsa.

“Mangsa bertindak terjun daripada kereta tetapi dimasukkan semula oleh suspek dan terus memecut kereta hingga tiba di kawasan KM 31.2 Gerik.

“Setibanya di kawasan tersebut berlaku lagi pertengkaran mulut antara suspek an mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Suspek kemudian menarik mangsa keluar dari kereta dan berlaku pergaduhan dan pergelutan di bahu jalan sehingga suspek bertindak menolak isterinya hingga jatuh ke dalam gaung.

Zulkifli berkata, mangsa yang mengalami kesan calar, luka dan Lebam pada tubuh dan badan kini dirawat di hospital daerah Taiping.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek mempunyai beberapa rekod lampau kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya, Akta Kesalahan Kecil dan Kanun Keseksaan.

Suspek sudah ditahan oleh Ibu Pejabat Polis Baling kerana terdapat penglibatan kes di daerah tersebut.

Zulkifli berkata, suspek akan ditangkap oleh pihaknya selepas kes selesai untuk melengkapkan siasatan. – MalaysiaGazette