KUALA LUMPUR – Darjah kebesaran bukan sahaja satu pengiktirafan malah amanah untuk menabur bukti dan khidmat kepada masyarakat dan negara.
Sehubungan itu, Presiden Majlis Datuk Persekutuan Malaysia (MDPM), Datuk Iskandar Abdul Malik menegaskan, penerimanya perlu menjaga nama baik institusi diraja dan negara dengan membuktikan mereka sememang layak untuk menerima kurniaan tersebut.
“Sememangnya mana-mana individu yang terlibat dengan kes jenayah atau mencemarkan nama negara tidak layak untuk memakai Darjah Kebesaran yang telah dikurniakan,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam kenyataan yang sama, Iskandar menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Sabtu lalu yang memberi amaran akan menarik balik darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan daripada penerima yang terbabit jenayah, mencemarkan nama negara atau dihukum oleh mahkamah.
Seri Paduka bertitah demikian sempena Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada Sabtu lalu.
Sementara itu, Iskandar berkata, titah Agong itu merupakan ingatan tidak ada sesiapa dalam negara ini kebal daripada undang-undang negara.
“Titah Seri Paduka Baginda itu sebagai ingatan tegas kepada semua penerima dan bakal penerima malah perlu menjaga kemurnian kurniaan yang telah diberikan oleh mana-mana institusi di Raja,” tambahnya.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Agong beri amaran tarik balik darjah penerima yang cemar nama negara