Antara warga asing dan juga warga tempatan yang ditahan ketika Op Pintas Mega di sebuah kelab malam di sekitar Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 3 JULAI 2024

KUALA LUMPUR – Resah teman wanitanya warga Nigeria ditahan disyaki melakukan kesalahan imigresen, seorang lelaki ‘Mat Saleh’ membuat onar dengan menganggu tugas polis dalam kejadian di Jalan Changkat, Bukit Bintang, di sini, awal pagi tadi.

Sebelum itu, teman wanitanya membuat kecoh dan lelaki berusia 40-an itu telah beredar selepas berpuas hati dengan pencerahan dari pegawai operasi berhubung penahanan tersebut.

Bagaimanapun, dia berpatah balik ke tempat operasi hingga tercetusnya ketegangan sebelum ditahan dan mereka kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Itu antara drama yang berlaku ketika Op Pintas Wakanda yang dijalankan Bahagian D3, Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Operasi itu diketuai oleh Ketua Penolong Pengarahnya, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong dengan menyerbu tiga pusat hiburan di Jalan Changkat yang bermula sekitar jam 1.30 pagi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, operasi ini telah berjaya menyelamatkan seorang wanita Nigeria berusia 28 tahun dipercayai menjadi mangsa eksploitasi seks.

“Pegawai operasi turut menahan seramai 41 individu pelbagai kewarganegaraan kerana melanggar pelbagai kesalahan.

“Daripada jumlah itu, 39 individu daripada benua Afrika serta dua lelaki Pakistan berusia 25 hingga 58 tahun untuk tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua tangkapan termasuk 11 wanita itu membabitkan warga Tanzania, Nigeria, Uganda, Sierra Leone serta Pakistan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily lagi, tiga warga Nigeria termasuk seorang wanita akan disiasat mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007.

Ujarnya, tangkapan masing-masing dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan IPD Brickfields untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette