KUALA LUMPUR – Seorang remaja maut selepas rebah ketika bermain bola sepak di sebuah padang bola di Semenyih, Selangor pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 46 tahun berhubung kejadian itu pada jam 4.08 petang.
“Hasil siasatan mendapati, semasa kejadian pengadu merupakan jurulatih kelab bola sepak memaklumkan mangsa berusia 14 tahun sedang dalam perlawanan bola sepak tiba-tiba rebah.
“Kemudian mangsa segera dibawa ke klinik berhampiran sebelum dihantar ke Hospital Kajang dan disahkan meninggal dunia pada jam 2.02 petang hari yang sama,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, hasil bedah siasat pakar perubatan mengesahkan mangsa mempunyai masalah komplikasi jantung dan asma sejak kecil namun tidak serius.
Beliau juga memaklumkan, sewaktu kejadian ibu bapa mangsa tiada di tempat terbabit dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SRD).
“Polis menasihati semua pihak terutama ibu bapa agar membuat pemeriksaan kesihatan terhadap kanak-kanak terlebih dahulu sebelum menyertai mana-mana kejohanan atau aktiviti sukan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” tegasnya. – MalaysiaGazette