KUANTAN – Seorang maut manakala dua lagi cedera apabila sebuah lori merempuh sebuah rumah di Kampung Ketapang Hilir, Pekan, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Bomba Kanan, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 4.46 pagi.

Beliau berkata, kejadian berlaku apabila sebuah lori treler yang membawa muatan pelbagai barang erbabas dan melanggar sebuah rumah yang didiami lima sekeluarga.

“Akibat rempuhan itu, seorang lelaki dan wanita warga emas penghuni dalam rumah itu didapati selamat manakala dua lelaki dewasa mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, seorang wanita yang tersepit akibat kemalangan itu yang berjaya dikeluarkan disahkan telah meninggal dunia oleh petugas Kesihatan di lokasi kejadian.

Pihak bomba membawa keluar mangsa yang maut akibat tersepit

Dua lelaki yang cedera telah di hantar ke hospital menaiki ambulan KKM.

Ismail berkata, pemandu lori treler terbabit turut mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital menaiki ambulan APM. – MalaysiaGazette