PUTRAJAYA – Rayuan SIS Forum (Malaysia) untuk membatalkan fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng, akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, pagi ini.
Penentuan sama ada rayuan itu dibenar atau ditolak akan diumumkan oleh panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Beliau yang bersidang bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim-hakim Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil mendengar penghujahan pihak-pihak pada 2 Disember tahun lalu.
SIS Forum merayu dalam usaha mendapat perintah mahkamah tertinggi negara untuk membatalkan fatwa yang dikeluarkan 12 tahun lalu yang melabelnya sebagai sesat dan menyeleweng.
Fatwa itu, yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014 mengisytiharkan SIS Forum, individu dan kumpulan yang mengguna pakai ideologi liberalisme dan pluralisme, sebagai menyimpang daripada Islam.
Fatwa itu turut mengarahkan penerbitan mengandungi pandangan liberal dan plural berkaitan Islam diharamkan dan disita serta meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menapis laman sesawang sosial yang bertentangan hukum syarak.
Pada 21 Ogos 2023, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada SIS Forum dan pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar untuk mencabar fatwa berkenaan.
Mereka merayu keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan yang memutuskan fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bukan muktamad dan dengan itu tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman.
Semakan kehakiman itu yang difailkan pada Oktober 2014 bagaimanapun ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada Ogos 2020 serta dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Mac 2023.
Dalam semakan kehakiman itu, mereka menamakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), dan Kerajaan Negeri Selangor sebagai responden.
Pada 2 Disember tahun lalu, mahkamah mendengar penghujahan peguam-peguam SIS Forum, Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan A. Surendra Ananth manakala Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Aidil Khalid mewakili jawatankuasa fatwa.
Yusfarizal Yussoff pula berhujah mewakili MAIS manakala Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Datuk Salim Soib@Hamid hadir bagi pihak kerajaan negeri. – MalaysiaGazette
















