Mangsa kemalangan diberi rawatan sementara menunggu dipindahkan ke hospital dalam kejadian yang mengorbankan 14 penumpang awal pagi Sabtu

MUAR – Kerajaan negeri Johor menzahirkan rasa simpati dan merakamkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas bas ekspres yang mengorbankan 14 nyawa di Km137.2, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berdekatam kawasan rehat dan rawat Pagoh, awal pagi ini.

Ucapan simpati dan takziah itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat.

Beliau turut mengesa pihak yang berkaitan untuk mengenal pasti punca dan tindakan drastik perlu diambil bagi mencegah kejadian sama daripada berulang.

“Sudah banyak kali kemalangan bas berlaku… pemandu bas yang melibatkan perjalanan jauh perlu menjalani pemeriksaan kesihatan enam bulan sekali.

“Pihak berkuasa juga perlu mewajibkan ada seorang pembantu pemandu bas yang berkelayakan di samping memastikan keadaan bas sentiasa diselenggara dan dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Ayub berkata beliau yakin Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini, mampu menguruskan 16 mangsa yang cedera dalam kemalangan itu kerana mempunyai kepakaran dan peralatan mencukupi.

— BERNAMA