Tan Sri Adenan Satem

KUCHING- Polis menahan seorang lelaki berusia 57 tahun yang disyaki mengeluarkan kenyataan fitnah dalam Facebook terhadap Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak yang meninggal dunia semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, suspek ditahan pada pukul 12.05 tengah malam tadi oleh JSJ Kuching di kediamannya di RPR Landeh Kuching.

“Telefon bimbit suspek dirampas bagi tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini kepada BERNAMA.

Sementara itu, orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat terus hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Adenan di kediamannya di Damai Jaya, Santubong, dekat sini.

Mereka hadir sejak awal pagi lagi.

Pasukan pengusung terdiri daripada pegawai serta anggota polis dan tentera sedang membuat persiapan untuk membawa jenazah dari kediaman Allahyarham ke Masjid Jamek Sarawak di Petra Jaya.-MalaysiaGazette