Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyampaikan ucaptama khas pada Persidangan Sosial Malaysia 2018 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 04 JULAI 2018.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyampaikan ucaptama khas pada Persidangan Sosial Malaysia 2018 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 04 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman menempelak segelintir pihak yang disifatkan ‘gila kuasa’ kerana masih tidak mahu keluar daripada kategori belia walaupun  sudah berusia lebih 40 tahun.

Walaupun tidak menamakan mana-mana pihak secara khusus, namun Syed Saddiq melahirkan persoalan terhadap golongan yang masih menganggap diri mereka dalam kategori belia hanya kerana mahu memegang jawatan tertentu dalam sesebuah pertubuhan.

“Ironi sekali kerana dalam Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) sendiri, usia belia antara 16 sehingga 28 tahun tetapi di negara kita, sehingga 40 tahun. Kenapa begitu?

“Adakah kita ketiadaan belia yang berbakat sehingga kekal yang lama sampai bila-bila?

“Saya tidak akan sesekali berkompromi dalam isu ini sebaliknya mahu lakukan perubahan yang betul. Saya akan memberi cadangan kepada kabinet supaya usia belia di negara ini dinilai semula bagi memastikan selepas ini hanya golongan ‘muda’ membarisi kepimpinan pertubuhan belia.

“Had usia cadangan yang saya akan cadangkan ialah antara 30 hingga 35 sahaja, saya masih ingat langkah tersebut agak sukar kerana kepemimpinan sebelum ini pernah cuba untuk melaksanakannya tetapi gagal kerana terdapat tentangan.

“Khairy Jamaluddin sendiri pernah cuba turunkan usia belia 40 kepada 30 tahun tetapi ada pihak berkepentingan yang menentangnya.

“Rata-ratanya kerana masing-masing tidak bersedia untuk melepaskan jawatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Minggu Media Sosial 2018 (MSMW) di sini hari ini.

Jelas Syed Saddiq, beliau akan memastikan rombakan pindaan peraturan berhubung isu had umur itu dalam kadar segera dan berkemungkinan dalam tahun ini.

Ahli Parlimen Muar itu juga memberikan contoh ketika tahun 1980-an, rata-rata pemimpin politik dan menteri dalam dari dalam kalangan belia dan golongan muda.

“Ketika itu semua sedia maklum ketika Pertubuhan seperti ABIM dan Majlis Belia Malaysia begitu berkuasa, suara-suara belia antara yang digeruni malah kepimpinan dalam politik juga banyak dibarisi oleh golongan ini.

“Apa yang sudah jadi kini? Majlis Belia dulu antara paling lantang dalam mengkritik kerajaan, kini?

“Kita perlu bawa perubahan, jangan ambil mudah tentang generasi muda ketika ini. Seandainya kita berjaya mengubah kerajaan ketika ini kerana kerajaan terdahulu tidak dapat memerintah dengan betul, mesejnya sama sahaja kepada kerajaan kini. Mungkin pada PRU akan datang, ianya tsunami golongan muda pula,” tegasnya. – MalaysiaGazette