KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengutuk kenyataan memalukan oleh Razlan Rafiimengenai kematian mendiang Ng Tien Chee sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

Ahli Parlimen Rembau itu mahu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi segera bertindak terhadap kenyataan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan itu yang disifatkan tidak menghormati keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong itu dalam kemalangan awal pagi tadi.

Kenyataan Khairy menyusul berikutan komen Razlan dalam akaun twitter peribadinya yang berbunyi:“Matinya seorang yang suka fitnah dan hati busuk kepada rakyat Malaysia!! Kurang lagi kaki fitnah! Aman Malaysia!! RIP” yang menerima kecaman netizen dalam media sosial kemudiannya.

Dalam akaun twitter Khairy sambil merujuk kepada kenyataan Razlan mendesak Ahmad Zahid menegur tindakan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan Razlan itu.

KJ kutuk twitter
Reaksi bekas ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin mengutuk Razlan Rafii yang persenda kematian ADUN Balakong.

“Presiden parti @Zahid_Hamidi harus kutuk kenyataan sebegini.
Belajar daripada apa yang berlaku (kekalahan UMNO).

“Orang awam menolak parti disebabkan beberapa individu yang bercakap dan bertindak tidak betul.

“Harus menunjukkan kepimpinannya (Zahid)..tidak ada gunanya jika hanya segelintir pemimpin yang dihukum,” tegasnya dalam twitter beliau sebelum diviralkan oleh para pengikutnya di media sosial.

Malah kenyataan seorang lagi pengguna Twitter, Rafi Awang Kechik turut berkongsi kenyataan membidas mendiang kononnya nyawanya dicabut Allah kerana menuduh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum dibicarakan di mahkamah.

Tindakan Rafi juga menerima cemuhan dan kecaman pengguna Twitter.

Tien Chee terlibat dalam kemalangan ngeri apabila dilaporkan maut setelah kereta Nissan Xtrail yang dipandu laju menghala ke Kajang melanggar sebuah lori kecemasan di Lebuh Raya Grand Saga.

Wakil rakyat DAP itu berjaya mempertahankan kerusinya buat penggal kedua berturut-turut pada PRU-14 lalu.- MalaysiaGazette