Kastam
Subromaniam Tholasy

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pernah menuntut RM82.9 bilion daripada Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan untuk membayar balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi tempoh 1 April 2015 sehingga 31 Mei 2018 tetapi jumlah penuh tidak dipindahkan ke Tabung Amanah.

Dengan itu menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Subromaniam Tholasy, pada 31 Mei 2018, Tabung Amanah mengalami kekurangan dana untuk membayar tunggakan bayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion.

“Dalam tempoh 1 April 2015 sehingga 31 Mei 2018, pihak JKDM telah melaporkan dalam Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan bahawa keperluan pulangan balik GST adalah berjumlah RM82.9 bilion.

“Jumlah ini adalah berdasarkan kepada Borang GST-03 (untuk menuntut bayaran balik GST) yang telah difailkan ke dalam sistem GST JKDM oleh pembayar cukai.

“Walau bagaimanapun, daripada keperluan pembayaran balik GST sebanyak RM82.9 bilion yang telah dilaporkan, hanya RM63.5 bilion pembayaran balik GST telah dibayar melalui Tabung Amanah bagi sepanjang tempoh yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tabung Amanah adalah satu Kumpulan Wang yang diwujudkan bagi tujuan pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di bawah Seksyen 54, Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (2014).

Semua bayaran GST dimasukkan ke dalam Akaun Kumpulan Wang Disatukan yang kemudiannya akan dipindahkan kepada Tabung Amanah untuk membolehkan pembayaran balik GST dapat dilaksanakan. – MalaysiaGazette