Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR –  Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mendesak supaya Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) dibubarkan kerana kewujudannya tidak lagi wajar memandangkan Kabinet telah terbentuk sepenuhnya.

Beliau juga mahu laporan cadangan oleh majlis itu didedahkan di Parlimen serta kepada rakyat supaya lebih telus, selain untuk mengelak tuduhan selepas ini.

CEP ditubuhkan untuk menasihati kerajaan pada awal pembentukannya, terutama sebelum Kabinet terbentuk sepenuhnya dan sebelum sidang pertama Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

‘Sekarang segala-galanya sudah terbentuk, dan PM (Perdana Menteri) mempunyai anggota Kabinet yang cukup hebat, terdiri daripada pemimpin terkanan lima parti yang sebahagiannya telah berjuang begitu lama.

“Atas dasar prinsip kebertanggungjawapan bersama  Kabinet, kita merasakan tidak wajar lagi untuk  CEP wujud, dan Kabinet perlulah berfungsi sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Annuar berkata, CEP, yang tidak ada legitimasi undang-undang dan perlembagaan, juga bukan sebahagian daripada legislatif, eksekutif dan kehakiman, pasti akan membongkah sistem demokrasi Parlimen sedia ada jika terus diwujudkan.

Pembubaran ini juga perlu, katanya bukan kerana soal kos tetapi kewajaran dan soal kuasa memandangkan hampir kesemua anggota mempunyai kepentingan sangat besar dengan kerajaan dan wujudnya konflik kepentingan.

Semalam, Pengerusi CEP Tun Daim Zainuddin mengumumkan sudah melengkapkan mandatnya dan laporan mengandungi cadangan oleh majlis berkenaan akan diserahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed, sekembalinya beliau dari China.

Selain Daim, CEP turut dianggotai oleh bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Hassan Marican, ahli perniagaan Robert Kuok dan pakar ekonomi Dr Jomo Kwame Sundaram. – MalaysiaGazette