Peguam bela kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berjalan keluar selepas hadir untuk didakwa atas empat pertuduhan pengubahan wang haram 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Anak lelaki Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Muhammad Farhan yakin wujudnya ‘konspirasi tersembunyi’ di sebalik pendakwaan terhadap bapanya hari ini.

Farhan yang ditemui ketika prosiding melahirkan rasa hairan dan terkejut dengan cara pendakwaan itu dibuat dan menyifatkan ia diwujudkan kerana tindakan bapanya yang mewakili kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Jelas Farhan yang juga merupakan peguam bela Muhammad Shafee, kekuataan dan kehebatan dimiliki oleh bapanya terutama apabila mengetuai kes Najib berkaitan 1MDB itu berkemungkinan besar punca utama.

“Ini merupakan kesan daripada tindakan membela Najib. Ini jelas bertujuan untuk tidak menggalakkan ayah untuk mewakili Najib dalam kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

“Tetapi, ayah tidak akan sesekali menarik diri daripada terus mengendalikan kes itu,” katanya.

Dalam pada itu, Farhan juga mendedahkan dirinya tidak pernah menyangka akan bertindak sebagai peguam bela dalam kes bapanya sendiri.

“Tidak pernah saya terfikir akan kendalikan kes berkaitan ayah saya sendiri. Ini sesuatu yang diluar dugaan.

“Saya tidak pernah terfikir satu hari nanti akan menjadi peguam kepada beliau tetapi pada masa yang dengan semua apa yang berlaku ketika ini, saya akan berterusan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada ayah saya tidak kira apa pun yang berlaku,” tegasnya.

Sementara itu, ketika bercakap dengan media, Muhammad Shafee turut mendakwa dakwaan beliau ‘dengar’ khabar angin yang mengatakan Najib juga akan didakwa atas kes yang sama.

Muhammad Shafee menghadapi empat pertuduhan pengubahan wang haram dan kesalahan cukai berkaitan bayaran RM9.5 juta yang diterimanya empat tahun lalu mendakwa pihak pendakwaan juga berhasrat mendakwa Najib atas kesalahan yang sama.

“Seperti yang anda semua sedia maklum, khabar angin di negara ini selalunya betul terutamanya pada masa kini. Tindakan ini dipercayai supaya saya tidak menjadi peguam bela untuk membela kes Najib selain daripada membela diri saya.

“Tetapi, ini tidak akan sesekali berlaku kerana kami ada strategi kami sendiri seandainya ‘khabar angin’ ini ada kebenaran,” ujarnya.

Tambah Muhammad Shafee, pendakwaan terhadap beliau telah dilakukan secara terburu-buru selain tidak melengkapkan siasatan tersebut.

“Saya ingin beritahu sesuatu yang mengejutkan, Sebelum ini Najib telah diminta untuk hadir memberi kenyataan kepada SPRM berhubung dakwaan RM9.5 juta ini. Beliau merupakan saksi tunggal yang boleh menyokong atau menafikan kes ini.

“Kemudian SPRM memberitahu Najib supaya hadir pada hari lain tetapi pada masa yang sama, SPRM telah ‘mencekup’ saya. Apa maknanya ini? Saya didakwa tanpa kenyataan daripada induvidu yang telah memberikan wang tersebut.

“Ini bermakna SPRM tidak mahu mendengar apa yang mahu dikatakan oleh Najib. Adakah benar, adakah ini tandatangan beliau, sudahkah lihat dokumen. Tidak ada.

“Siasatan belum selesai tetapi saya sudah didakwa hari ini, cuba anda semua fikir mengapa agaknya saya didakwa dengan begitu terburu-buru?” soalnya.- MalaysiaGazette