TERKINI : Pemilihan PKR Tidak Terjejas Dengan Penahanan Petugas JPP – Pengerusi JPP

PKR alu-alukan tindakan undang-undang daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua petugas Jawtankuasa Pemilihan Pusat (JPP) jika terbukti bersalah atas kesalahan rasuah.

Menurut Pengerusinya Datuk Rashid Din parti itu bersedia untuk memberikan kerjasama kepada semua pihak untuk memastikan Pemilihan PKR berlangsung dengan penuh berintegriti.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai penahanan reman dua lelaki yang merupakan Sekretariat Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR baru-baru ini kerana disyaki cuba meminta sogokan.

“Kami alu-alukan tindakan pantas dan berani SPRM Kedah dalam menangani isu yang berkaitan.

“JPP terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak demi memastikan proses pemilihan parti 2018 ini berjalan dengan penuh integriti, telus dan mengikut peraturan dan tatacara yang telah ditetapkan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat parti itu.