Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Perpecahan dalam kalangan orang Melayu pada hari ini adalah disebabkan oleh politik yang dibawa oleh parti Pas, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menulis di blognya Chedet.cc Perdana Menteri mendakwa, orang Melayu sebelum ini tidak berpecah kerana agama dan apabila wujudnya parti itu keadaan tersebut berlaku dan ia tidak boleh dimaafkan.

“Hanya apabila Pas ditubuh barulah orang Melayu berpecah dan terpisah kepada dua puak yang bermusuh ketat.

“Perpecahan ini jugalah yang melemahkan orang Melayu. Demikianlah kelemahan orang Melayu sehingga Pas juga terpaksa meminta pertolongan orang-orang ‘kafir’,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, parti itu tidak jadi ‘kafir’ meskipun bekerjasama dengan parti ‘kafir’ kerana kerjasama yang dijalin adalah menerusi “Tahaluf Siyasi”.

“Apa dianya Tahaluf Siyasi jika diterjemah ke Bahasa Melayu maknanya ialah ‘kerjasama politik’ dan ini adalah sama dengan apa yang dilakukan oleh UMNO apabila bekerjasama dengan MCA dan MIC,” katanya.

Dalam hal tersebut, Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, bahasa Arab jelas diguna untuk mengislamkan kerjasama Pas dengan orang ‘kafir’.

Tegas beliau, penerimaan ajaran pemimpin dan parti lebih utama daripada ajaran Islam dalam kalangan anggota Pas dan oleh yang demikian mereka sanggup bermusuh dengan orang Islam lain walaupun al-Quran menyebut bahawa orang Islam itu bersaudara.

“Walaupun sebahagian dari ahli Pas sudah tinggal Pas tetapi ramai dari ahli Pas yang masih taksub dengan Pas dan ajarannya.

“Dan perpecahan yang mendalam di kalangan orang Melayu adalah berterusan. Dia akan berterusan selagi Pas menyalahtafsir dan menyalahguna ajaran Islam. Inilah sebabnya yang saya tentang Pas. – MalaysiaGazette