NEW YORK – Penanda aras minyak global, Brent melonjak lebih tiga peratus melepasi AS$80 setong selepas Arab Saudi dan Rusia bersetuju untuk tidak meningkatkan pengeluaran bahan bakar itu meskipun diminta berbuat demikian oleh Donald Trump.

Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) dan bukan OPEC yang mengadakan mesyuarat di Algeria Sabtu lalu berakhir tanpa sebarang cadangan untuk meningkatkan bekalan tambahan bagi menangani kekurangan bekalan dari Iran.

Iran bakal menghadapi sekatan oleh Amerika Syarikat mulai November ini.

Brent diniagakan pada AS$81.20 setong selepas mencecah paras tertinggi sejak November 2014 kepada AS$81.39 setong pada dagangan tengah hari.

“Pasaran minyak masih dibimbangi dengan bekalan Iran dan Venezuela. Kegagalan pengeluar untuk menanganinya akan mewujudkan peluang belian,” kata Gene McGilian.

Menteri Minyak Arab Saudi, Khalid al-Falih berkata, pihaknya tidak mempengaruhi harga.

Trump sebelum mesyuarat OPEC berlangsung berkata, harga minyak perlu diturunkan.

Sementara itu, pedagang-pedagang komoditi Trafigura dan Mercuria berkata, Brent dijangka mencecah sehingga AS$90 setong pada Krismas dan melepasi AS$100 setong pada awal tahun depan, memandangkan pasaran semakin ketat selepas sekatan ke atas Iran dilaksanakan sepenuhnya. – MalaysiaGazette