Prof. Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff (kiri) dan Datuk Prof. Ulung Dr. Rajah Rasiah

PENSTUKTURAN Semula Akaun Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dengan kewujudan Akaun Fleksible semenangnya bukan untuk membantu kumpulan terdesak terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan miskin.

Penganalisis Ekonomi Prof. Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, bukan menjadi tanggungjawab KWSP untuk menolong kumpulan terbabit.

“Memang tak betul KWSP untuk bantu orang miskin. Orang miskin dibantu oleh pihak lain. KWSP bukan satu-satunya kaedah untuk membantu golongan miskin.

“Kumpulan ini sebenarnya dibantu melalui pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, pusat zakat, Sumbangan Tunai Rahmah, subsidi bersasar dan lain-lain.

“Orang miskin sepatutnya dibantu melalui itu bukan melalui KWSP sebab ia untuk persaraan. Mana boleh letakkan KWSP sebagai satu-satunya kaedah untuk membantu orang miskin. Memang bukan. Ini adalah salah satu sahaja,” katanya.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul La­tiff.-MUHD NA’IM, 09 JULAI 2023.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) mendakwa Akaun Fleksibel (Akaun 3) Kumpulan Wang Simpan Pekerja (KWSP) tidak mendatangkan manfaat kepada kumpulan pencarum yang terdesak.

Presiden PGIRM, Azmi Mohd Tahir berkata, Akaun Fleksibel hanya membantu pencarum yang tidak terkesan dengan himpitan ekonomi dan membolehkan mereka membuat pindahan Akaun Sejahtera (Akaun 2) dalam jumlah yang besar sekali gus mencadangkan pengeluaran bersasar.

Sementara itu menurut Ahmad Razman, mewujudkan Akaun Fleksibel adalah lebih baik berbanding pengeluaran bersasar seperti sebelum ini.

“Orang tak perlu tertunggu-tunggu, tertanya-tanya, terpaksa meminta-minta sebab ia bergantung kepada kerajaan yang memerintah.

“Kali ini tidak perlu minta sebab selagi ada caruman masuk ke Akuan Fleksibel maka ada ruang untuk pencarum keluar wang daripada akaun tersebut,” kata Pensyarah Kanan Putra Business School tersebut kepada MalaysiaGazette.

Tambahnya, penstrukturan semula akaun memberi situasi menang-menang kepada KWSP dan pencarum.

Pengeluaran secara sistematik membolehkan KWSP merangka pelaburan berbanding pengeluaran bersasar yang menyebabkan ketidaktentuan kerana bergantung kepada permintaan rakyat sekali gus memaksa KWSP menilai semula strategi pelaburan mereka.

Profesor Ekonomi Universiti Malaya, Professor Ulung Datuk Dr Rajah Rasiah.- Foto WAN NABIL NASIR, 29 SEPTEMBER 2023.

Sementara itu Profesor Ekonomi di Institut Asia Eropah, Universiti Malaya. Datuk Prof. Ulung Dr. Rajah Rasiah berkata, penstrukturan akaun KWSP dibuat berasaskan tindak balas pekerja bergaji rendah yang mengambarkan kehendak rakyat.

“Pecahan 75 peratus kepada akaun persaraan harus di lihat dari sudut matlamat peranan KWSP, iaitu untuk melindungi pekerja setelah bersara kerana kebanyakan daripada mereka tiada lagi pendapatan setelah mereka bersara

“Penstrukturan terkini bagi saya lebih bernas kerana matlamat asas KWSP dapat dikekal, iaitu ia masih disasarkan untuk membantu pekerja setelah mereka bersara,” katanya.

Jelas beliau pecahan carumah iaitu Akaun Persaraan 75 peratus, Akaun Sejahtera 15 peratus dan Akaun Fleksibel 10 peratus memadai dalam mencapai matlamat dalam melindungi pekerja.

Beliau turut menolak andaian bahawa, pengeluaran bersasar sekali gus yang desak oleh segelintir pihak sebelum ini adalah lebih baik dalam membantu kumpulan berpendapatan rendah berbanding mewujudkan Akaun Fleksible.

“Saya suka pengenalan Akaun Fleksibel dengan pecahan 10 peratus kerana ramainya pekerja yang menghadapi risiko krisis keluarga sehingga menjatuhkan mereka ke dalam keadaan hutang.

“Akaun ini dapat melindungi golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk menangani krisis hutang dari masa ke masa,” kata beliau kepada MalaysiaGazette.

KWSP semalam mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei 2024.

Semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Akaun Persaraan untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan, Akaun Sejahtera untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan.

Manakala Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek dan simpanan dalam akaun ini boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.- MalaysiaGazette