SETIAP kali kita menyambut Hari Kebangsaan, kita bukan sekadar meraikan sebuah tarikh dalam kalendar. Kita sebenarnya sedang mengenang sebuah perjalanan panjang bangsa yang bangkit daripada penjajahan, membina kesatuan dan akhirnya mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan yang kita nikmati hari ini tidak hadir dengan mudah. Ia dibina atas keberanian,
pengorbanan dan kebijaksanaan generasi terdahulu.
Dalam sejarah perjuangan tersebut, UMNO mempunyai tempat yang amat besar bermula kebangkitan menentang Malayan
Union, penyatuan orang Melayu melalui gerakan politik yang tersusun, sehinggalah kepada perjuangan mencapai kemerdekaan, UMNO menjadi antara wadah utama yang membawa suara orang Melayu ke meja rundingan.
Nama-nama seperti Dato’ Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan ramai lagi bukan sekadar nama dalam buku sejarah. Mereka adalah generasi yang memahami bahawa perjuangan politik bukan semata-mata tentang kuasa, tetapi tentang amanah, masa depan bangsa dan pembinaan sebuah negara membawa perjuangan ke arah kemerdekaan melalui pendekatan rundingan dan kerjasama antara kaum. Kemerdekaan akhirnya diisytiharkan pada 31 Ogos 1957.
Daripada generasi ke generasi, perjuangan UMNO terus melalui pelbagai zaman. Ada zaman kita berada di puncak kejayaan. Ada zaman kita diuji dengan kekalahan pada 2018 akibat fitnah dan pembohongan pembangkang. Ada masa kita menjadi kerajaan yang dominan dengan 2/3 majoriti, dan ada masa kita perlu berdepan dengan hakikat bahawa rakyat mahukan perubahan.
Namun sejarah mengajar kita satu perkara penting bahawa kalah tidak bermakna kalah selamanya dan yang menang sekarang tidak bermakna menang dan kekal selamanya. Kerana rakyat memerhati dan menilai maka rakyat jugalah yang akan menurunkan kerajaan dan pemimpin yang hanya tahu berbicara kosong dan berjanji palsu penyedap halwa telinga tetapi tiada hasil.
Menjelang Perhimpunan Agung UMNO kali ini yang akan berlangsung pada 9-12 September ini, saya percaya inilah masa untuk kita melihat kembali perjalanan tersebut dengan hati yang terbuka.
Satu, UMNO perlu kekal menjadi payung Melayu. UMNO ditubuhkan atas kesedaran bahawa orang Melayu perlu bersatu dan mempunyai wadah politik yang mampu memperjuangkan kepentingan Melayu. Maka, UMNO mesti terus mempertahankan kedudukannya sebagai payung kepada orang Melayu.
Namun, konteks masa kini dalam menjaga Melayu, UMNO perlu menjadi jaguh memperjuangkan kehendak generasi anak muda Melayu seperti menambah peluang pekerjaan dengan kadar bayaran setimpal, mencari jalan agak kadar miskin bandar bagi orang Melayu dapat dikawal dan dinaikkan taraf seperti penyediaan kemudahan pinjaman atau geran perniagaan. Selain itu memberi ransangan kewangan kepada peniaga Melayu sedia ada dan sebagainya. Kenapa perlu bimbang, ini tanah air kita, kita yang patut corakkan kekayaan setiap daripada kita semua.
Kedua, perhebatkan agensi seperti MARA dalam memberi pendidikan berkualiti kepada anak bangsa. Apabila orang-orang Melayu cerdik pandai dalam semua bidang maka kita tidak perlu mengharapkan sesiapa dalam pembinaan negara yang tercinta. Mereka mahu rumah yang mampu dimiliki. Sebagai kerajaan sikit masa lagi, kawallah harga rumah terutama di bandar-bandar besar agar orang Melayu tidak dipinggirkan takut lama kelamaan aset strategik di bandar-bandar besar habis dibolot oleh bukan Melayu.
Ketiga, soal lambakan bangsa Rohingya dan pendatang asing yang menjadi keresahan rakyat terumata orang Melayu. Hampir setiap hari dan waktu penuh cerita berkenaan masalah ini didada akhbar mahupun tidak kurang hebat disosial media. Adakah rakyat perlu mentularkan masalah ini dahalu baru kerajaan atau penguatkuasa hendak bertindak seperti mana yang dilakukan oleh pempengaruh saudara ‘Abang Koroy’ di Facebook?
Rakyat sudah semakin muak dan benci jangan sampai keadaan tidak terkawal lagi parah. Diingatkan wahai pemimpin, dengarilah keluh kesah rakyat, fahami kehendak rakyat yang mahu kerajaan hantar pulang semua pendatang asing ini segera dan jangan pekakkan telinga dan butakan mata. Rakyat mahu hidup selesa di tanah air sendiri maka ambillah tindakan segera sebelum makin parah.
Menjelang PRU akan datang khabarnya tidak lama lagi kemungkinan besar pada tahun ini juga, satu perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh UMNO ialah soal calon. Kita perlu berani mengakui bahawa landskap politik sudah berubah.
Pengundi hari ini, khususnya generasi baharu ‘GenZ’, mempunyai cara berfikir yang berbeza.
Mereka lebih terdedah kepada maklumat. Mereka lebih kritikal. Mereka tidak semestinya terikat dengan parti seperti generasi terdahulu. Cara fikir mereka lebih mudah, mereka mahu melihat hasil. Mereka mahu melihat pemimpin yang turun padang. Mereka mahu pemimpin yang memahami isu pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan, teknologi, perumahan dan masa depan mereka. Justeru, UMNO perlu berani menampilkan muka-muka baharu yang segar, berpendidikan, berkemahiran, berintegriti dan benar-benar mampu bekerja.
Calon PRU tidak seharusnya dipilih hanya kerana popular dalam organisasi atau kerana lama memegang jawatan. Kita perlu melihat siapa yang “winnable, workable dan credible”. Memberi laluan kepada muka baharu tidak bermakna kita melupakan yang lama cuma landskap politik kini lebih dinamik dan progresif. Yang lama adalah akar, yang baharu adalah pucuk. Pokok yang kuat memerlukan kedua-duanya dalam memastikan UMNO kekal relevan.
Kembalikan kegemilangan UMNO, bersihkan maruah pemimpin kita dan jangan biarkan pihak lain sesuka hati membuli pemimpin kita, memburuk-burukkan pemimpin kita, menabur naratif jahat pada parti kita. Justeru, UMNO sebagai parti besar perlu berani bersuara menangkis segala tohmahan-tohmahan berat ini dan jika perlu, keluar sahaja dari Kerajaan Perpaduan Madani ini segera kerana kita punya maruah dan harga diri.
PAU bukan sekadar perhimpunan. Sebab itu, saya melihat PAU bukan sekadar perhimpunan tahunan. PAU adalah ruang untuk kita bermuhasabah. Kita perlu berani melihat kelemahan tanpa rasa takut. Kita perlu meraikan kekuatan tanpa menjadi terlalu selesa. Dan kita perlu merangka masa depan tanpa terikat sepenuhnya kepada nostalgia masa lalu.
Kita harus bertanya: Apakah UMNO 10 atau 20 tahun akan datang? Siapakah generasi yang akan memimpin parti?
Bagaimanakah kita mahu memastikan anak muda Melayu terus melihat UMNO sebagai wadah perjuangan mereka? Bagaimanakah kita mahu memastikan UMNO terus menjadi parti yang diyakini rakyat?
Jawapan kepada semua persoalan ini tidak boleh diserahkan kepada Presiden UMNO atau Timbalan Presiden UMNO sahaja.
Ia adalah tanggungjawab seluruh keluarga besar UMNO. Menyambung perjuangan, bukan memutuskan sejarah sempena bulan kemerdekaan ini, kita perlu mengingat bahawa generasi terdahulu tidak pernah menikmati kemudahan yang kita ada hari ini.
Mereka berjuang dalam keadaan yang jauh lebih sukar. Mereka tidak mempunyai media sosial. Mereka tidak mempunyai teknologi komunikasi yang pantas. Namun mereka mempunyai sesuatu yang sangat penting, keyakinan bahawa mereka sedang memperjuangkan sesuatu yang lebih besar daripada diri mereka sendiri.
Itulah semangat yang perlu kita hidupkan kembali. Kita tidak mahu generasi baharu melihat UMNO hanya sebagai parti orang lama. Kita mahu mereka melihat UMNO sebagai sebuah gerakan yang mempunyai sejarah, tetapi tidak terperangkap dalam sejarah.
Sebuah parti yang menghormati orang lama, tetapi memberikan ruang kepada orang baharu. Sebuah parti yang mempertahankan Melayu, tetapi memahami realiti Malaysia. Sebuah parti yang berakar di bumi, tetapi mampu melihat jauh ke hadapan. Dan sebuah parti yang tidak takut berubah demi memastikan perjuangannya terus hidup. Perjuangan Dato’ Onn adalah perjuangan menyatukan bangsa.
Perjuangan Tunku Abdul Rahman adalah perjuangan mencapai kemerdekaan. Perjuangan generasi selepas mereka adalah membangunkan negara. Dan perjuangan generasi kita pula ialah memastikan Malaysia terus stabil, Melayu terus mempunyai kekuatan dan UMNO terus relevan dalam menghadapi zaman yang jauh berbeza.
Harapan kepada PAU
Menjelang PAU, harapan saya sederhana. Semoga kita kembali kepada asas perjuangan. Semoga kita lebih banyak bercakap tentang rakyat daripada jawatan. Lebih banyak bercakap tentang masa depan daripada masa lalu. Lebih banyak bercakap tentang kerja daripada populariti. Dan lebih banyak memberi ruang kepada mereka yang benar-benar mahu berkhidmat. Kita mahu melihat gandingan otai dan muka baharu, pengalaman dan pendidikan, tradisi dan inovasi, akar umbi dan generasi digital.
Untuk PRU akan datang, berilah peluang kepada mereka yang mempunyai kemampuan untuk bekerja, mempunyai integriti, mempunyai ilmu dan mampu membawa wajah UMNO yang lebih segar kepada rakyat. Akhirnya, UMNO kini semakin diterima semula oleh rakyat dengan gelombang biru di PRN Johor, Negeri Sembilan dan sudah pasti di Melaka. Jangan sia-sia kepercayaan rakyat pada kita. Lakukan yang terbaik dan selebihnya berserah kepada Maha Kuasa.
Hidup Melayu,
Hidup UMNO,
Salam perjuangan

Oleh: Dr. Aiman Jaapar
















